Bekas pengurus Korea Selatan dan Chelsea itu berkata, semua pasukan termasuk pasukan tuan rumah, Malaysia, mampu membuat kejutan jika pasukannya mengambil mudah terhadap ketiga-tiga pasukan dalam kumpulan tersebut, kerana kejohanan ini juga bertindak sebagai kelayakan peringkat pertama ke Olimpik Tokyo 2020.
"Tidak ada sebab pasukan kami sahaja yang cemerlang. Sejak saya ambil alih pasukan ini, saya telah lihat peningkatan yang banyak, tetapi mereka perlu bekerja lebih keras untuk menjadi lebih baik. Melalui kejohanan ini, baru saya boleh nilai sebaik mana pemain saya.
"Pada saya, tekanan datang tugas, tetapi kami tidak rasa tertekan, dan kami berharap akan dapat melayakkan diri ke pusingan akhir," katanya dalam sidang media pra kejohanan di sini hari ini.
Sementara itu, jurulatih warga Belanda berusia 72 tahun itu, menyatakan kegusaran beliau terhadap tahap kecergasan pemainnya, kerana hanya beberapa daripada mereka yang bermain dengan pasukan masing-masing dalam Liga Super China, manakala yang lain hanya memanaskan bangku simpanan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih U-22 Laos, V. Sundramoorthy berkata, beliau yakin yang pasukannya berpeluang layak ke pusingan akhir, sambil menambah China adalah pasukan pilihan menjuarai kumpulan J berdasarkan rekod mereka yang melayakan diri ke pusingan akhir dalam tiga kejohanan sebelum ini (2013, 2016, 2018).
Warga Singapura berusia 53 tahun itu juga berhati-hati terhadap dua pasukan lain -- Filipina dan tuan rumah, Malaysia, yang boleh memberikan tentangan, kepada usaha mereka untuk layak ke pusingan akhir buat pertama kalinya di kejohanan dwi-tahunan itu.
"Saya telah melatih pemain sejak dua minggu lepas untuk kejohanan ini. Ramai pemain muda kami telah menunjukkan peningkatan dan berharap mereka akan dapat menunjukkan prestasi yang baik," tambah bekas pemain antarabangsa Singapura itu.- BERNAMA