Jurulatih terkemuka China, Guus Hiddink berkata, tindakan merehatkan pemain utama bukan bermakna beliau memandang rendah keupayaan Filipina tetapi mahu memastikan pasukannya cukup cergas apabila bertemu tuan rumah dalam aksi yang dianggap paling mencabar.
“Semua pemain kami mempunyai standard yang sama, baik dalam kesebelasan utama mahu bangku simpanan. Sebab itulah saya tidak takut untuk menukar pemain,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Shah Alam, hari ini.
Dalam aksi tersebut, China berada di depan seawal minit kelima menerusi penyerangnya Shan Huanhuan sebelum disusuli gol kedua oleh pemain tengah Hu Jinghang selang 10 minit kemudian.
Anak-anak buah Hiddink terus menambah derita Filipina apabila menyumbat tiga lagi gol menerusi Huang Cong, Lin Liangming dan Jinghang.
Babak kedua bersambung menyaksikan skuad kendalian Salvacion Salvador lebih banyak berkampung di kawasan sendiri, namun tetap benteng mereka tidak ampuh apabila China menambah gol keenam menerusi pemain gantian Zhang Yuning pada minit ke-49.
Gol ketujuh China hadir pada minit ke-77 menerusi rembatan Huanhuan sebelum Yuning meledak gol kelapan ketika permainan berbaki dua minit. - UTUSAN ONLINE