PEMAIN China, Shan Huanhuan menanduk bola seterusnya menjaringkan gol pertama bagi pasukannya ketika menentang Filipina di pusingan Kelayakan AFC B-23 di Stadium Shah Alam, hari ini.- FOTO UTUSAN/IQBAL ROSLI
SHAH ALAM 24 Mac - Skuad Bawah 23 (B-23) China hampir pasti mara ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23 di Thailand pada tahun depan setelah skuad kendalian Guus Hiddink itu membelasah Filipina 8-0 dalam aksi kelayakan kejohanan di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan China mengungguli Kumpulan J dengan 13 gol dan semestinya situasi itu membuatkan skuad negara berada di tempat kedua di bawah tekanan kerana mereka perlu mencatat kemenangan besar ke atas Laos di venue yang sama, hari ini.
Juara setiap kumpulan akan layak ke pusingan akhir secara automatik diikuti lima pasukan terbaik di tempat kedua.
Dalam aksi tersebut, China berada di depan seawal minit kelima menerusi penyerangnya Shan Huanhuan sebelum disusuli gol kedua oleh pemain tengah Hu Jinghang selang 10 minit kemudian.
Anak-anak buah Hiddink terus menambah derita Filipina apabila menyumbat tiga lagi gol menerusi Huang Cong, Lin Liangming dan Jinghang.
Babak kedua bersambung menyaksikan skuad kendalian Salvacion Salvador lebih banyak berkampung di kawasan sendiri namun tetap benteng mereka tetap ampuh apabila China menambah gol keenam menerusi pemain gantian Zhang Yuning pada minit ke-49.
Gol ketujuh China hadir pada minit ke-77 menerusi rembatan Huanhuan sebelum Yuning meledak gol kelapan ketika permainan berbaki dua minit.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan