PEMAIN China, Yang Li Yu menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pertama pasukannya sewaktu beraksi dalam pusingan Kelayakan AFC B-23 antara China dan Laos di Stadium Shah Alam, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
KUALA LUMPUR 22 Mac - Skuad Bawah 23 (B-23) China memulakan kempen Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 Kumpulan J dengan langkah kanan apabila berpesta gol menewaskan Laos 5-0 di Stadium Shah Alam, hari ini.
Menggunakan sentuhan jurulatih berpengalaman dari Belanda, Guus Hiddink menyaksikan China berada di kelas tersendiri dan tidak berdepan masalah untuk membelasah Laos meskipun terpaksa beraksi dalam cuaca panas.
“Sudah tentu saya gembira kerana kami menang 5-0. Beraksi dalam cuaca panas dan kelembapan suhu yang tinggi, malah, keadaan permukaan padang yang tidak begitu rata menjadi cabaran untuk kami.
“Segala perancangan serta penekanan yang diberikan dalam sesi latihan berjalan dengan baik apabila pemain mampu mendapatkan gol sehingga penghujung perlawanan. Kami melakukan persiapan kurang dari sebulan dan keseluruhannya saya berpuas hati dengan pemain,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini, hari ini.
Dalam aksi tersebut, penyerang China, Yang Liyu meletakkan pasukannya di depan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-29.
Gol kedua hadir menerusi rembatan Shan Huan Huan tiga minit sebelum rehat dan selepas itu, Liyu meledak gol kedua peribadinya pada masa tambahan babak pertama.
Bersambung babak kedua, rembatan dua pemain gantian pada masa tambahan iaitu Lin Liang Ming dan Cao Yong Jing membolehkan China memperoleh tiga mata pertama dengan bergaya.
China akan bertemu Filipina di venue yang sama, Ahad ini. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan