Dalam satu kenyataan, Timbalan Presiden PFA yang menjalankan tugas presiden, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan (gambar) menegaskan, pihaknya akan mengemukakan tuntutan saman RM3 juta terhadap Ahmad Amizal yang didakwa telah merosakkan serta memberi imej buruk kepada bola sepak negeri ini.
Tegas Abdul Karim, peguam PFA telah mengeluarkan notis mengenainya pada 18 Mac lalu dan memberi tempoh dua minggu kepada Ahmad Amizal menjawab tuntutan itu.
Katanya, tindakan itu diambil berikutan Ahmad Amizal telah melakukan pelbagai kerosakan sehingga menyebabkan Singa Utara disingkirkan daripada Liga Malaysia 2019.
"Tuntutan ini juga selepas Ahmad Amizal melanggar perjanjian penajaan kepada PFA.
"Turut menerima tempias daripada tindakan Ahmad Amizal itu adalah pasukan Piala Presiden dan Belia Perlis yang tidak dibenarkan beraksi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)," katanya.
Ahmad Amizal yang dilantik sebagai Presiden PFA pada Oktober lalu telah melepaskan jawatannya bulan lalu selepas melakukan kerosakan terhadap bola sepak Perlis termasuk gagal melunaskan gaji pemain.
Sementara itu, Abdul Karim berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mengadakan mesyuarat agung bulan depan bagi memilih presiden baharu yang mampu menerajui dan menyelesaikan segala tunggakan hutang bernilai RM4 juta.
Dalam pada itu, Ahmad Amizal ketika dihubungi enggan memberi komen berhubung tuntutan tersebut.