Meskipun gagal melangkah ke pusingan akhir, pencapaian skuad B-22 negara dalam kempen Kelayakan AFC B-23 2020 di Shah Alam baru-baru ini tetap boleh dibanggakan.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap berbangga dengan persembahan keseluruhan yang ditunjukkan oleh pasukan negara bawah 22 tahun (B-22) bimbingan Datuk Ong Kim Swee walaupun gagal melayakkan diri ke Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2020 di Thailand tahun depan.
Pengarah Teknikalnya, Peter De Roo dalam satu kenyataan hari ini berkata, semangat yang ditunjukkan oleh para pemain dalam tiga perlawanan peringkat Kumpulan J terutamanya keputusan seri 2-2 dengan pasukan gergasi Asia, China yang dikendalikan jurulatih bertaraf dunia, Guus Hiddink pada Selasa lalu wajar dipuji.
“Hasilnya tidak semestinya berada dalam kawalan kita. Pada hakikatnya, persembahan kita terutamanya menentang China adalah baik. Kita tidak boleh meminta lebih banyak, sebaliknya patut bangga dengan cara mereka bermain. Sungguh mengecewakan kita tidak diberi tempat untuk pusingan akhir tahun depan kerana ia akan menjadi satu lagi peluang hebat untuk pemain-pemain muda kita untuk mendapatkan pendedahan dan cabaran yang lebih baik.
“Malah Hiddink berkata kepada saya selepas perlawanan bahawa kita sepatutnya layak ke pusingan akhir tersebut dan amat memalukan jika kita tidak layak. Dia kagum dengan persembahan pasukan kita,” katanya dalam kenyataan itu.
Malaysia melengkapkan pusingan kelayakan di tempat kedua kumpulan dengan kemenangan ke atas Filipina 3-0 and Laos (1-0) untuk berkongsi tujuh mata dengan China yang menjadi juara kumpulan dengan perbezaan jumah gol.
Bagaimanapun, impian ke final yang dijadualkan di Bangkok tahun depan berkecai apabila Malaysia gagal mencari slot dalam kumpulan empat naib juara terbaik untuk menyertai 12 pasukan lain.
Kegagalan itu juga menafikan peluang tunggal Malaysia untuk layak ke Olimpik 2020 di Tokyo.
Tentang sesetengah pihak yang meremehkan pasukan dan FAM kerana kegagalan itu, De Roo menyifatkan mereka sebagai orang yang tidak tahu mengenai bola sepak dan tidak mengikuti perkembangan pasukan sepanjang kempen.
Beliau menggesa semua pihak tidak terus meratapi kegagalan ini dan sentiasa berada di belakang pasukan dalam persiapan mereka untuk Sukan SEA 2019 di Filipina, akhir tahun ini.
“Walaupun misi untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 yang terkandung dalam FAM Roadmap (F:30), prestasi pasukan kebangsaan dan kemajuan yang jelas di lapangan, kita tidak boleh terus menganggap bahawa F:30 telah gagal kerana ia peta jangka panjang untuk tempoh dari tahun 2019 hingga 2030.
“FAM akan memastikan perancangan dan persiapan yang lebih ketat bagi memastikan skuad muda ini lebih kompetitif dalam pusingan kelayakan AFC B-23 pada 2024 bagi menjamin misi layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan