JUALAN tiket di kaunter Stadium Nasional, Bukit Jalil mula dibuka hari ini. - Gambar ihsan FAM
KUALA LUMPUR 18 Mac - Peminat bola sepak tempatan yang mahu memberikan sokongan kepada Harimau Malaya sepanjang kempen Piala Air Marine sudah boleh mendapatkan tiket di kaunter Stadium Nasional, Bukit Jalil selepas ia dibuka sepenuhnya hari ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan berkata, penyokong boleh membeli tiket di Kaunter Tiket Pintu C (berhadapan Pusat Akuatik Nasional).
Kaunter berkenaan dibuka bermula pukul 11 pagi tadi hingga 6 petang dan akan dibuka pada waktu yang sama esok.
Bagi hari perlawanan Rabu ini, kaunter tiket akan dibuka di Pintu A, C dan E dari 10 pagi hingga 10 malam.
Tiket berharga RM45 bagi tempat duduk Grandstand, RM35 tempat duduk Terbuka dan RM25 bagi pelajar berumur 7 hingga 18 tahun adalah untuk menyaksikan dua perlawanan pada hari sama.
Perlawanan pertama kejohanan Rabu ini menyaksikan Oman bertemu Afghanistan pada 4.30 petang manakala Malaysia akan menentang Singapura pada pukul 8.45 malam.
Perlawanan hari kedua kejohanan (Sabtu) akan menyaksikan penentuan tempat ketiga dan keempat pada 4.30 petang manakala final 8.45 malam.
Tiket perlawanan Sabtu juga sudah boleh dibeli di kaunter bermula hari ini.
Begitupun, peminat juga boleh mendapatkan tiket secara talian di www.proticket.com.my dengan dua pilihan, sama ada mahu menebus tiket fizikal di kaunter stadium pada hari perlawanan atau menggunakan Kod QR yang diberikan selepas pembelian untuk kemasukan terus ke dalam stadium.
Semua kemasukan ke stadium bagi perlawanan Piala Air Marine menggunakan Kod QR yang terdapat pada tiket dibeli di kaunter atau pembelian menerusi atas talian.
Setakat Jumaat lalu, 10,000 tiket sudah terjual untuk menyaksikan kejohanan jemputan empat negara itu. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan