PENYERANG Malaysia B-23, Muhammad Hadi Fayyad Abdul Razak (kanan) diasak pemain Australia B-23, Brodon Wilson dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI
KUALA LUMPUR 18 Mac – Jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mengakui, perlawanan persahabatan menentang Australia B-23 yang berakhir 1-1 semalam telah mendedahkan banyak kelemahan pasukannya menjelang kelayakan Kejuaraan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) B-23, minggu depan.
Malaysia memerlukan jaringan Nik Azli Nik Alias pada waktu kecederaan untuk mengikat Australia yang terlebih dulu mendahului saingan menerusi Brandon Wilson pada minit ke-50.
“Ini satu keputusan yang baik sebelum memulakan kelayakan Kejohanan Asia B-23, tetapi daripada segi penampilan masih banyak kekurangan. Kami sentiasa diancam pasukan lawan dan itu menyebabkan pemain sukar beraksi seperti biasa.
“Pasukan ini masih perlu mencari kombinasi yang tepat dan bermain dengan lebih tersusun.
“Saya percaya, keserasian dan kombinasi terbaik hanya akan diperoleh selepas dua perlawanan pertama menentang kelayakan AFC menentang Filipina dan Laos.
“Kita pasti akan lebih bersedia apabila bertemu China dalam saingan ketiga,” kata Kim Swee dalam sidang akhbar.
Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan J dengan menentang Filipina pada Jumaat ini, diikuti Laos (Ahad) dan China, Selasa depan.
Juara setiap kumpulan bagi saingan kelayakan ini (11 pasukan) akan layak secara automatik ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2020 bersama tuan rumah, Thailand manakala hanya empat/lima pasukan tempat kedua terbaik akan turut layak bagi melengkapkan senarai 16 pasukan. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan