Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan kekecewaan beliau dengan penjualan tiket perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018.
Selain meluahkan kekecewaan, baginda menerusi laman media sosial Twitter milik beliau berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk segera mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan ini dan ianya tidak boleh berterusan pada masa akan datang.
TMJ juga memberikan jaminan bahawa baginda akan mencari jalan penyelesaian supaya isu ini tidak berulang pada masa yang akan datang kerana penyokong adalah nadi bolasepak.
Semalam, kekecohan terjadi di Stadium Bukit Jalil ketika penyokong mahu membeli baki tiket perlawanan akhir sebanyak 40,000 yang dijual di dua kaunter stadium tersebut. Tolak-menolak, balingan botol serta perang mulut terjadi sejurus saja kaunter dibuka pada pukul 10 pagi.
Penulis sendiri hadir ke stadium semalam bagi menyaksikan sama ada jualan tiket kali ini lebih tertib berbanding sebelumnya ataupun masih lagi di takluk lama. Nyata penjualan tiket kali ini masih lagi tidak berubah dan seolah-olah tidak belajar dari kesilapan lampau.
Dianggarkan lebih 20 penyokong yang pengsan kerana terjebak di tengah kekesakan penyokong yang mahu membeli tiket. Ada juga penyokong yang tidak bertanggungjawab dengan membaling botol ke arah penyokong lain serta menolak kaum wanita pada kekecohan semalam.
Bukan saja penjualan tiket fizikal di Bukit Jalil yang bermasalah, malah penjualan tiket di atas talian juga menghadapi masalah.
Entah sampai bila perkara seperti ini akan berlaku bila mana ada perlawanan akhir sama ada melibatkan pasukan Liga Malaysia ataupun pasukan kebangsaan.
Apa yang pasti, FAM perlu mencari jalan penyelesaian dengan kadar yang segera agar kekecohan seperti semalam tidak berulang pada masa akan datang. Jangan hanya membuat kenyataan mahu mengambil tindakan namun pada akhirnya tiada apa-apa langkah yang diambil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan