KUALA NERUS: AirAsia akan menawarkan tiket pada harga promosi kepada penyokong Harimau Malaya bagi menyaksikan perlawanan akhir kedua, Piala AFF Suzuki 2018 di Hanoi, Vietnam, pada 15 Disember ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes, berkata tawaran itu bagi memastikan lebih ramai penyokong Malaysia dapat ke negara itu untuk memberi sokongan.
Beliau berkata, perbincangan akan diadakan pada Selasa ini dengan pengurusan lapangan terbang di Hanoi bagi melihat jumlah slot penerbangan dari Malaysia yang dibenarkan nanti.
“Malaysia memerlukan sokongan sebanyak mungkin. Ketika saya di Hanoi, saya melihat rakyatnya begitu menggila apabila mereka menang.
“Kita (AirAsia) akan cuba aturkan. Apa yang kita cuba lakukan adalah penerbangan akan berlepas melalui Bangkok (jika tiada penambahan slot penerbangan dari Malaysia) dan kita akan cuba menggunakan kapal terbang yang lebih besar.
“Jika kita mendapat slot dan hak, kita akan cuba menambah bilangan kapal terbang selain bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Ultras Malaya,” katanya selepas Program Executive Talk: From Zero to Hero di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.
Perlawanan akhir Piala AFF akan memulakan aksi dengan skuad negara menerima kunjungan Vietnam pada final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini, manakala aksi final kedua di Hanoi, 15 Disember ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan