SYAHMI SAFARI (kiri) terlepas peluang beraksi dalam final pertama Piala AFF kerana menjalani penggantungan perlawanan.
HANOI 13 Dis. - Selepas sekadar berada di tempat duduk penonton dalam final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, pertahanan muda negara, Syahmi Safari mengakui tidak sabar untuk beraksi di Hanoi, Sabtu ini.
Penjaring gol perlawanan separuh akhir ketika menentang Thailand di Bangkok itu tidak bermain dalam aksi final pertama selepas menerima dua kad kuning pada perlawanan tersebut.
Ramai penyokong mengakui ketiadaan Syahmi menyebabkan pertahanan sebelah kanan sedikit goyah meskipun aksi Amirul Azhan Aznan tidak terlalu mengecewakan.
“Terima kasih kepada penyokong yang menaruh kepercayaan tinggi kepada saya.
“Bagi saya semua pemain yang diturunkan pasti memberi aksi terbaik cuma mungkin rezeki kurang tidak memihak kepada kita untuk dapat bekalan selesa.
“Bermain di sini tekanan agak tinggi tetapi kita kena serap tekanan dan cepat menemui momentum supaya dapat bermain seperti biasa.
“Mungkin Vietnam akan mengambil mudah cabaran di laman mereka dan kita perlu mengambil peluang tersebut,” katanya ketika di temui di sini hari ini.
Keadaan cuaca di Hanoi mencatat bacaan 15 darjah celsius bukan satu penghalang kerana ianya cukup selesa untuk pemain Harimau Malaya walaupun sedikit sejuk berbanding di Malaysia.
Dalam aksi final pertama, Selasa lalu Malaysia berjaya bangkit untuk mengikat Vietnam 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pasukan negara memerlukan keajaiban seperti empat tahun lalu, yang mana mereka berjaya mempamer kebangkitan menakjubkan dengan melakar kemenangan 4-2 di Hanoi walaupun tewas 1-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan