
JURULATIH Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui bersedia menurunkan skuad terbaik dalam misi hidup mati pada aksi final kedua Piala AFF menentang Vietnam esok meskipun langkah yang diambilnya itu mungkin berisiko besar.
Sekembalinya dua tonggak pertahanan, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Syazwan Andik daripada kecederaan hamstring pasti melegakan namun sejauh mana pemain ini boleh menghabiskan aksi 90 minit dalam tempo permainan cukup tinggi dengan cuaca sejuk sekitar 13 darjah selsius di Stadium Nasional My Dinh masih menimbulkan persoalan.
“Syahmi (Safawi), Aidil dan Syazwan tak bermain pada final pertama sebelum ini, sekarang mereka sudah boleh bermain, jadi saya tidak ada masalah untuk menurunkan skuad terbaik,” kata Cheng Hoe dalam sidang media pra perlawanan hari ini.
Ketika Malaysia seri 2-2 pada perlawanan akhir pertama Selasa lalu, pertahanan kanan, Syahmi tidak bermain kerana digantung satu perlawanan manakala posisi Aidil dan Syazwan diambil Irfan Zakaria dan Nazirul Naim Che Hashim.
Sejak mengalami kecederaan, Aidil sudah berehat selama sembilan hari manakala Syazwan 14 hari.
Kehadiran tiga tonggak pertahanan ini cukup penting memandangkan skuad Naga Emas memiliki jentera serangan hebat apabila sudah meledak empat gol ke atas Malaysia termasuk ketika menang 2-0 di Hanoi pada peringkat kumpulan.
Skuad Harimau Malaya tiada pilihan selain memburu kemenangan ke atas juara 2008 itu kerana keputusan seri 0-0 dan 1-1 bakal memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah menerusi peraturan gol di tempat lawan.
Di sebalik keghairahan dalam memburu gol, Cheng Hoe menasihatkan anak buahnya supaya tidak mengikut emosi atau melayan provokasi pemain lawan sehingga boleh mengundang masalah kepada pasukan sendiri.
“Pemain kena tenang, kawal emosi kerana situasi tegang biasa dalam permainan. Kita tahu hanya satu jalan iaitu kita kena menang dan pemain sudah tahu apa yang perlu dilakukan.
“Kita kena atasi semuanya untuk mendapat keputusan positif esok,” katanya yang memburu kejuaraan kedua selepas menjadi penolong jurulatih skuad juara 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan