KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melaungkan keyakinan skuad Harimau Malaya mampu menumbangkan Vietnam dan membawa pulang Piala AFF pada perlawanan akhir kedua di Hanoi, Sabtu ini.
Kali terakhir Malaysia menjulang Piala AFF adalah pada 2010 menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2.
Syed Saddiq yang ditemui pada Majlis Makan Malam Tahunan dan Malam Anugerah Majlis Olimpik Malaysia ke-25 menegaskan, beliau sendiri akan menyertai barisan ‘ekor’ Harimau Malaya untuk menyaksikan perlawanan akhir itu.
Menjelang perlawanan penting ini, sebanyak empat pesawat sewa khas disediakan oleh syarikat tambang murah, AirAsia untuk membawa barisan penyokong Ultras Malaya ke Hanoi.
Syed Saddiq berkata, ia adalah bertujuan untuk membawa seramai mungkin penyokong negara ke Hanoi bagi memberi sokongan padu kepada barisan pemain bimbingan Tan Cheng Hoe.
"Saya yakin barisan pemain negara mampu untuk menang biarpun beraksi di tempat lawan.
"Saya menyeru untuk rakyat Malaysia bersama-sama memberi sokongan padu yang tidak berbelah bagi kerana melalui sukan, ia dapat menyatupadukan rakyat pelbagai agama dan Bangsa, " katanya.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia mara ke pentas akhir ialah pada edisi 2014, namun tewas di tangan Thailand.
Dalam perkembangan lain, Syed Sadiqq turut yakin kuasa atlet muda mampu untuk menyumbangkan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik, biarpun ketika ini negara masih lagi mengharapkan atlet senior.
Antara atlet sandaran ialah Datuk Lee Chong Wei (badminton), Azizulhasni Awang (basikal trek) Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong (terjun).
Namun, katanya kebangkitan atlet muda seperti Goh Jin Wei (badminton) dan Shakila Sani Jefry Krisnan (karate) tidak boleh diketepikan kerana mereka juga mampu mencipta kejutan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan