KUALA LUMPUR: Pemain tengah Vietnam Tran Dinh Trong mengakui mereka perlu berwaspada dengan ancaman Harimau Malaya yang diberi jolokan ‘jaguh kebangkitan’ dalam kempen bola sepak Piala AFF 2018.
Pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu, skuad Naga Emas kendalian Park Hang-seo itu sudah merasai penangan kebangkitan pasukan negara apabila diikat 2-2 meskipun mendahului 2-0.
Malah Malaysia yang dibimbing Tan Cheng Hoe turut mengejar lawan dari belakang ketika menang 3-1 ke atas Laos pada aksi peringkat kumpulan dan seri 2-2 ketika menyingkirkan juara bertahan Thailand di separuh akhir.
Dinh Trong berkata, mereka perlu lebih bersedia untuk menyekat serangan Malaysia di Hanoi dalam misi memburu kejuaraan kedua selepas 2008.
“Kami perlu memberi perhatian penuh dan membuat persiapan rapi untuk memperbaiki kelemahan.
“Kami cuba untuk mendapatkan keputusan baik pada perlawanan pertama. Tapi saya kecewa kerana hanya seri walaupun keputusan itu biasa dalam bola sepak,” katanya.
Susulan keputusan seri 2-2 pada pertemuan pertama, Vietnam yang menduduki ranking ke-100 dunia memiliki sedikit kelebihan berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.
Pemain berusia 21 tahun itu berkata, mereka tidak risau dengan keputusan perlawanan pertama kerana yakin untuk mendapat keputusan baik seperti ketika membenam Harimau Malaya 2-0 pada aksi peringkat kumpulan.
“Dua gol dengan keputusan seri itu nampak seperti memberi kelebihan kepada kami tapi ia bukan kelebihan yang besar. Kami perlu memastikan gawang kami tidak dibolosi.
“Tapi kami tidak terlalu bimbang dengan keputusan seri ini, ia bukan satu masalah dan kami sudah tidak sabar untuk beraksi perlawanan kedua,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan