PEMAIN tengah Malaysia, Syahmi Safari (kiri) berjaya melakukan jaringan menarik dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2018 bertemu Tahiland di Stadium Rajamangala, Bangkok, semalam AFP
SEPANG 6 Dis. - Jaringan cantik pertahanan kanan Harimau Malaya, Syahmi Safari pada minit ke-28 pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF 2018 bakal dipertimbangkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi pencalonan Anugerah Puskas FIFA.
Ledakan gol penyamaan itu hasil rembatan dari luar kotak penalti mendapat pujian ramai dan dianggap antara gol tercantik dalam kempen Piala AFF kali ini yang menyaksikan penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom sekadar mampu melihat bola menerjah jaring.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, rembatan pemain Selangor itu memang cantik dan badan induk bola sepak negara itu bersedia untuk mencalonkan gol tersebut bagi Anugerah Puskas.
“Saya nampak itu (gol Syahmi) yang terbaik dan saya akan bincang dengan bahagian teknikal sama ada jaringan itu perlu atau sesuai untuk kita calonkan nanti,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Syahmi memberitahu terdapat banyak lagi gol yang lebih menarik dilakukan pemain-pemain seluruh dunia namun menyambut baik jika FAM mahu mencalonkan gol tersebut.
“Saya rasa ada banyak lagi gol cantik yang dijaringkan sebelum ini oleh pemain lain. Tapi kalau betul, terpulang (kepada FAM),” kata Syahmi.
Terdahulu, pemain Pulau Pinang, Faiz Subri memahat sejarah baharu dalam arena bola sepak Malaysia apabila muncul pemain pertama dari Malaysia merangkul Anugerah Puskas FIFA 2017.
Perkara itu dilihat tidak mustahil untuk Syahmi muncul pemain kedua dari Malaysia untuk memenangi anugerah itu, malah, jaringan itu turut menjadi tular di laman media sosial. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan