PERTAHANAN Malaysia, Shahrul Saad meraikan jaringanya ketika menentang Vietnam dalam final pertama Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam. UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN
KUALA LUMPUR 11 Dis. - Biarpun cabaran Malaysia di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Sabtu ini amat berliku selepas seri 2-2 dengan Vietnam dalam final pertama hari ini, namun melihat prestasi pemain dalam 65 minit terakhir, Harimau Malaya tetap punya peluang baik untuk merangkul kejuaraan Piala AFF buat kali kedua.
Dua jaringan pantas pelawat menerusi Nguyen Huy Hung dan Pham Duc Huy dalam tempoh tiga minit, merentap seketika semangat pemain dan lebih 85,000 penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Begitupun, anak-anak buah Tan Cheng Hoe menunjukkan karakter hebat apabila enggan membiarkan jaringan tersebut menganggu fokus mereka dengan terus mengatur serangan bertali arus sebelum akhirnya merapatkan jurang menerusi tandukan pemain pertahanan, Shahrul Saad pada minit ke-36 berpunca dari situasi bola mati.
Harimau Malaya menunjukkan kesungguhan untuk mencari gol penyamaan dengan menyerang habis-habisan sebaik sahaja separuh masa kedua bersambung, dan Pemain Paling Bernilai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018, Safawi akhirnya meledak gol pertama pada Piala AFF dengan menyempurnakan sepakan percuma dari luar kotak penalti pada minit ke-61.
Keputusan 2-2 mungkin bukan penamat sempurna buat Malaysia, namun semangat melawan ditunjukkan Harimau Malaya memberi keyakinan kepada penyokong tiada yang mustahil boleh berlaku di Hanoi nanti.
Menang 1-0 sudah cukup untuk menobatkan mereka selaku juara kali kedua selepas 2010, dan jika keputusan terikat sekali lagi, mereka perlu menjaringkan sekurang-kurangnya tiga gol bagi mengesahkan gelaran.
Beraksi di depan penyokong sendiri memberi semangat luar biasa kepada pemain negara yang bermula garang dengan melancarkan asakan bertubi-tubi ke kubu lawan dalam 10 minit pertama.
Begitupun, kesilapan pertahanan membolehkan Huy Hong menghukum tuan rumah pada minit ke-21 selepas menyempurnakan hantran Phan Van Duc hasil serangan balas pantas, sebelum gawang mereka dirobek kali kedua menerusi Duc Huy.
Malaysia juga memperoleh beberapa peluang terbaik untuk menghasilkan gol, namun tendangan Syamer Kutty Abba pada minit ke-27 gagal menemui sasaran manakala sepakan percuma Syafiq Ahmad di minit terakhir diselamatkan penjaga gol, Dang Van Lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan