
Setelah 10 tahun gagal mara ke saingan akhir Piala AFF Suzuki, Vietnam akhirnya berjaya merealisasikan perkara tersebut pada kempen kali ini setelah membenam Filipina dengan agregat 4-2.
Hal tersebut bukan sahaja menjadi kegembiraan buat para pemain malah para penyokong juga tidak terlepas untuk meraikan kejayaan tersebut di seluruh pelusuk negara.
Namun, penjaga gol kacukan Rusia-Vietnam, Dang Van Lam tidak mahu terlalu meraikan kejayaan tersebut dan ingin kembali meletakkan perhatian seterusnya bagi menghadapi Harimau Malaya.
“Sememangnya kami sangat gembira berjaya memasuki perlawanan akhir, dan kami telah meraikannya dalam bilik persalinan tetapi buat masa ini kami perlu tumpukan kepada perlawanan akan datang.” katanya seperti dipetik daripada AFF Suzuki Cup.
Setelah mengharungi 180 minit permainan pada saingan separuh akhir dan berjaya menundukkan pasukan kendalian Sven-Goran Eriksson, beliau turut memberikan sedikit komen mengenai lawan mereka di saingan akhir iaitu Malaysia.
Penjaga gol yang bermain bersama pasukan Hai Phong dalam V-League berkata,
“Malaysia merupakan sebuah pasukan yang sangat bagus dan ia akan menjadi pertembungan akhir yang sangat menarik.
“Kami telah menentang mereka dalam saingan peringkat kumpulan jadi kami akan menunggu perancangan jurulatih untuk menghadapi mereka saingan kali ini.” katanya.
Setakat enam perlawanan dalam kempen Piala AFF Suzuki 2018, Vietnam belum mencatatkan sebarang kekalahan termasuk kejayaan mengalahkan Malaysia 2-0 di Stadium Nasional My Dinh pada November lalu.
Dan penjaga gawang kacukan yang berusia 25 tahun inilah yang memainkan peranan besar di hadapan gawang skuad Naga Emas.
Walaupun menampilkan aksi cemerlang bersama skuad kebangsaannya, beliau turut meluahkan kekecewaan pada perlawanan separuh akhir kedua menentang Filipina lalu.
Beliau berkata, “Saya sedih apabila melepaskan gol pada minit terakhir permainan, saya akan cuba melakukan yang lebih baik dalam perlawanan akan datang tetapi perkara yang paling penting adalah pasukan mencatatkan kemenangan dan fokus seterusnya adalah Malaysia.” tambahnya.
Kredit Foto: Dang Van Lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan