JURULATIH Vietnam, Park Hang Soe dalam sidang akhbar menjelang aksi akhir kedua Piala AFF 2018 di Bangunan Persekutuan Bolasepak Vietnam, Hanoi hari ini.- FOTO UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
HANOI 14 Dis. - Selepas dua kali gagal membawa Vietnam muncul juara dalam dua kejohanan utama iaitu Piala AFC B-23 dan Sukan Asia, pengendali skuad Naga Emas, Park Hang Seo tidak sanggup lagi berputih mata.
Peluang terbaik untuk pengendali dari Korea Selatan itu menjulang trofi adalah Piala AFF musim ini, dengan dia tidak lagi mahu melepaskan peluang keemasan tersebut apabila bertemu Malaysia dalam perlawanan akhir kedua di Stadium My Dinh, Sabtu ini.
“Selepas dua kali saya gagal membawa pasukan muncul juara, saya tidak sanggup melepaskan peluang ini, tambahan pula bermain di depan penyokong sendiri.
“Dalam Piala AFC kita tewas di final dan Sukan Asia di peringkat separuh akhir dan saya fikir tiada peluang terbaik untuk menamatkan kempen tahun ini selain bergelar juara,” katanya ketika sidang media di Bangunan Persatuan Bolasepak Vietnam, hari ini.
Vietnam berjaya membawa bekalan selesa ke Hanoi dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas mencatat keputusan 2-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa lalu.
Sementara itu, penyerang Vietnam, Nguyen Anh Duc tidak mahu rakan sepasukannya melepaskan lagi peluang yang diperolehi kerana kejuaraan di Hanoi pasti meninggalkan kenangan paling bermakna buat pasukan.
“Bergelar juara di Vietnam pasti tinggalkan kenangan indah di hadapan penyokong sendiri. Kami perlu berhati-hati dengan Malaysia kerana mereka datang di sini dengan semangat dan keyakinan yang tinggi.
“Sebelum ini beraksi di dihadapan lebih 80,000 penyokong memberi kesukaran kepada kami namun di sini pasti memberi suasana berbeza,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan