Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail turut menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) segera mengeluarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib, yang diadakan pada 6 Disember lalu.
"PFAM melihat, pasukan-pasukan yang berhutang masih tidak mengambil inisiatif untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain, namun ironinya sangat rancak dalam menandatangani pemain baharu termasuklah pemain import bagi saingan musim hadapan.
"Perkara ini amat memalukan dan sangat dikesali, terutama bila mengenangkan pemain semakin terhimpit dengan hutang dan keterdesakan hidup akibat hilang punca pendapatan.
"PFAM juga ingin menggesa FAM segera mengeluarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib yang difahamkan diadakan telah diadakan pada 6 Disember 2018.
"Kelewatan keputusan ini akan memberi kesan besar kepada pemain, apabila pasukan terus 'terlepas' dari dikenakan hukuman sebelum saingan musim baharu bermula.
"Kredibiliti FAM selaku badan yang menaungi urusan bola sepak di Malaysia amat ditagih dalam situasi ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
PFAM turut mengulas kenyataan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang menyatakan isu tunggakan gaji telah selesai.
"Untuk makluman, PFA masih tidak memberikan apa-apa status terkini berhubung tunggakan gaji tahun 2016 dan 2017.
"Selain itu, tunggakan gaji tahun 2018 akan dibayar secara beransur-ansur dan selagi bayaran akhir belum dibuat, isu tunggakan gaji ini tidak boleh dianggap telah selesai," katanya lagi. - UTUSAN ONLINE