Vietnam efektif dalam perlawanan ini. Hasilnya, mereka berjaya membawa 2 gol tempat lawan daripada perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas terikat 2-2 dengan pasukan Malaysia.
Permulaan
Vietnam menggunakan formasi 5-3-2 dalam perlawanan ini. Mereka tanpa An Dhuc yang menjadi pemain penting dalam sepanjang kejohanan ini.
Sementara itu, Malaysia kekal dengan formasi 4-4-1-1. Amirul Azhan menjadi bek kanan menggantikan Syahmi Safari yang digantung.
Malaysia sukar memecahkan blok pertahanan Vietnam
Sepanjang perlawanan ini, Malaysia sukar untuk memecahkan blok pertahanan Vietnam yang dibentuk secara 5-4-1. Vietnam bermain dalam sistem pertahanan yang sangat disipilin. Mereka cepat membantu rakan dengan covering dan menutup ruang.
Malaysia mengenakan tekanan awal ke kubu pertahanan Vietnam dengan harapan dapat mengambil kesempatan ketika fasa pasukan Vietnam sedang mencari rentak. Namun secara permainan terbuka Malaysia sukar untuk memecahkannya.
Anda lihat cara Vietnam efektif bertahan secara unit di sini. Pemain pertahanan melakukan tekanan kepada pembawa bola.
Seterusnya pertahanan kedua akan ‘cover’ selepas pertahanan pertama gagal. Dan pada fasa ini juga pertahanan ke-3 akan mengenakan ‘shadow marking’ ataupun ‘cover shadow’ ke atas potensi penerima bola. Ini dilakukan dengan antisipasi (agakan) dalam permainan.
Ketika pertahan ke-2 terus merapati Safawi (closing down), pertahanan ke-3 terus memastikan Zaquan di dalam kawalan beliau (control & restraint). Apabila Safawi merasakan tekanan semakin dekat beliau terpaksa melepaskan bola dan pada fasa ini, Vietnam memenangi bola kerana antisipasi dan struktur pertahanan mereka yang sistematik dan berdisiplin.
Sistem dan prinsip pertahanan yang sama mereka kekalkan dalam situasi ini dan anda sudah boleh mengaitkan gambar di bawah ini dengan aspek, pressing, covering dan control yang baik daripada organisasi yang kompak dan kekal zonal.
Lihat konsep ‘cover shadow’ oleh Chelsea dalam sistem rantaian berlima ketika di bawah Antonio Conte di bawah ini.
Sistem pertahanan ini mereka berjaya kekalkan untuk 90 minit dengan disiplin yang tinggi dengan para pemain mereka mengamalkan disiplin bertahan termasuk body positioning yang betul.
Isu pertahanan Malaysia vs serangan Vietnam
Selepas melihat sistem pertahanan Vietnam, kita lihat pulak bagaimana sistem pertahanan Malaysia yang jelas ada isu dengan kefahaman oleh pemain. Vietnam pula memiliki ketajaman dalam serangan balas. Vietnam efektif ketika dalam penguasaan bola.
Ada beberapa pemain Malaysia gugup dalam perlawanan ini. Mereka mengambil masa yang lama untuk mendapatkan lebih keyakinan.
Vietnam sangat baik dalam hantaran untuk mencari pemain serangan bagi mencetuskan ancaman. Walaupun mereka tidak berminat dengan pertarungan penguasaan bola, namun apabila memiliki bola mereka lebih tahu cara untuk menambah nilai kepada penguasaan itu. Lihat statistik di bawah ini dan anda dapati jumlah percubaan tepat mereka sama dengan Malaysia.
Ketika bertahan, Malaysia berhadapan dengan isu kekeliruan (confusion) yang jelas pada beberapa pemain. Pemain kerap terperangkap dalam membuat keputusan (caught two minded) – sama ada untuk melakukan tekanan awal ataupun kekal di dalam zonal.
Apabila anda meletakkan garisan pertahanan anda tinggi di dalam padang, nak tak nak, pasukan anda perlu melakukan tekanan di garisan tinggi yang berkesan. Namun barisan hadapan dan tengah Malaysia tidak cukup intensif untuk melakukan counter pressing dan terlalu mudah dilepasi pemain Vietnam.
Seterusnya pemain lambat untuk mengisi ruang ketika turun bertahan. Ini adalah analisis bagaimana gol pertama berlaku.
Malaysia berhadapan dengan kesukaran untuk bertahan dalam unit terutama sekali pada 2 gol pertama. Vietnam sangat klinikal, 2 percubaan tepat pertama menghasilkan 2 gol. Malaysia masih beberapa kali memberikan Vietnam peluang ‘besar’ namun mujur Farizal Marlias cemerlang menafikannya untuk memastikan Malaysia tidak bolos lebih banyak.
Gol kedua Vietnam adalah kerana ruang yang diberikan di kawasan luar kotak penalti dan para pemain Malaysia tidak cukup tinggi komitmen untuk lebih agresif bertahan dan menghadang percubaan itu.
Malaysia menyakiti Vietnam dengan bola mati
Ini adalah cara Malaysia menyakiti pertahanan Vietnam. Jurulatih mereka sendiri mengakui sangat terkesan dengan impak daripada bola mati pasukan Malaysia. Sebab itu beliau menzahirkan sedikit kecewa walaupun menang.
Dari segi serangan secara permainan terbuka, Norshahrul dan Zaquan Adha ‘isolated’ hampir secara total dalam perlawanan ini. Zaquan lebih banyak melayan emosi berbanding dengan fokus dalam perlawanan.
2 gol Malaysia adalah menerusi situasi bola mati selepas Malaysia buntu memecahkan pertahanan mereka dalam permainan terbuka. Gol pertama adalah kelemahan ‘marking’ yang membolehkan Shahrul Saad melakukan tandukan bebas tanpa kawalan. Gol kedua adalah kesilapan melakukan foul di kawasan bahaya dan dihukum oleh Malaysia.
Perubahan taktikal Tan Cheng Hoe
Pada fasa 30 minit terakhir, Malaysia menukar corak kepada sistem bek bertiga. Tan Cheng Hoe menjadikan Sumareh sebagai pemain dengan peranan bebas. Dan Safawi dijadikan pemain sayap songsang. Peranan Sumareh ini membuatkan formasi Malaysia tidak tetap, sama ada dengan 3-5-2 ataupun 3-4-2-1.
Pada fasa ini, Tan Cheng Hoe lebih kepada pertarungan teknikal di mana beliau mahu menambah unit secara kuantitatif di tengah dan zon serangan. Vietnam memiliki beberapa peluang melakukan serangan balas namun gagal disudahkan.
Adam Nor Azlin juga antara pemain yang cemerlang melakukan beberapa aksi bertahan, mematikan serangan balas Vietnam – ketika pasukan Malaysia melaburkan ramai pemain di zon serangan. Beliau adalah pemain yang masuk dan memberikan impak sangat baik.
Syafiq Ahmad sebagai pemain yang segar (fresh leg) menggunakan kudrat beliau untuk menekan dan menyerang. Pada asasnya beliau adalah bek sisi dan ketika beliau menyerang Safawi akan menukar posisi dengan beliau.
Rumusan
Malaysia berhadapan dengan kesukaran untuk memecahkan pertahanan Vietnam. Permainan Malaysia menjadi ‘stuck’ di tengah kerana apabila sampai ke zon serangan Malaysia sukar mencipta peluang. Perkara yang perlu diperbaiki Malaysia adalah aspek kreativiti.
Malaysia tidaklah bermain terlalu buruk, kerana jelas taktikal Tan Cheng Hoe membuatkan Vietnam beberapa kali terpecah organisasi mereka (disorganized). Namun ketajaman di zon serangan dan melepaskan 2 gol awal adalah aspek yang menyukarkan Malaysia.
Tan Cheng Hoe dalam sidang media selepas perlawanan menggariskan – pemain Malaysia berhadapan dengan permainan yang paling intensif dalam kempen kali ini. Benar, Vietnam sangat intensif ketika bertahan dan menyerang balas. Mereka kemas dalam aspek binaan serangan terutama sekali hantaran pivot.
Namun yang positif dalam pasukan Malaysia dalam temasya kali ini adalah respon apabila ketinggalan. Pasukan ini memiliki mentaliti cuba berusaha sedaya upaya untuk mencari gol dalam apa jua cara.
Kita masih ada 90 minit di Vietnam. Semoga Tan Cheng Hoe dapat memperbaiki aspek pertahanan dan juga kreativiti di dalam perlawanan kedua nanti. Yakin Boleh!
Pemain terbaik pilihan SemuanyaBOLA
Farizal Marlias (Malaysia)
Beliau menjadi pemimpin di belakang pertahanan. Anda pasti masih ingat ketika beliau menjerit menyuruh Irfan Zakaria ‘bangun’. Cara beliau tegas dan mesra dengan pemain muda itu.
Beliau menafikan beberapa percubaan dan juga binaan gol Vietnam. Turut melakukan 2 saves penting bagi memastikan Vietnam tidak menang selesa di Bukit Jalil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan