Lebih menarik, pemain baharu kelab PKNS FC itu percaya aksi final itu merupakan peluang terbaik buat pasukan kebangsaan membalas dendam ke atas skuad Naga Emas itu selepas tewas 0-2 pada peringkat Kumpulan A di Hanoi bulan lalu.
“Saya akui beraksi di posisi tengah bukan tugas yang mudah apatah lagi dilemparkan pelbagai kritikan pada peringkat awal kejohanan ini.
“Namun, ia tidak melemahkan semangat saya dan saya sangat berharap dapat beraksi dengan lebih baik ketika menentang Vietnam nanti.
“Secara peribadi, saya akan bekerja keras untuk melakukan hantaran tepat kepada rakan-rakan sepasukan selain berusaha mengekang asakan Vietnam yang gemar menggunakan strategi serangan balas pantas,” katanya ketika ditemui pemberita.
Mengulas lanjut, Akram yang beraksi dalam semua perlawanan skuad kendalian Tan Cheng Hoe pada kejohanan Piala AFF Suzuki tahun ini mengakui semakin mencapai persefahaman tinggi dengan rakan gandingannya di posisi tengah, Syamer Kutty Abba.
“Saya akui kritikan sebelum ini yang saya terima bersama Syamer (Kutty) telah menaikkan lagi motivasi kami untuk bangkit pada beberapa perlawanan lepas termasuk mendominasi aksi ketika menentang Thailand pada peringkat separuh akhir.
“Saya harap momentum sama dapat diteruskan ketika menentang Vietnam nanti walaupun sedar mereka memiliki kualiti berlainan memandangkan mereka pernah menewaskan kami pada peringkat kumpulan sebelum ini.
“Apa yang pasti, saya harap tuah penampilan pertama pada kejohanan Piala AFF Suzuki membuahkan hasil sekali gus berjaya membantu skuad kebangsaan me­­rangkul trofi berprestij tersebut,” kata pemain berusia 25 tahun itu.