Tinjauan Bernama mendapati barisan panjang menunggu di kaunter A dan E stadium sebelum jualan tiket dibuka kira-kira pukul 10 pagi dengan sebahagian yang ditemui berkata mereka berada di stadium itu sejak pukul 8 malam tadi.
Keadaan menjadi kecoh apabila ada yang meninggalkan barisan dan mula berasak-asak untuk ke depan kaunter.
"Saya kurang berpuas hati dengan penguatkuasaan di kaunter kerana pihak polis pun datang lewat dan apabila kaunter dibuka sahaja orang ramai terus menyerbu," kata Shahrul Asyraaf Termizi ketika ditemui Bernama di lokasi.
Menurut pemuda berusia 24 tahun dari Taman Melawati itu, keadaan bertambah kecoh apabila ada yang datang lewat namun cuba memotong barisan menyebabkan berlaku insiden tolak-menolak sehingga ada yang terjatuh.
Dia juga meluahkan rasa hampa kerana gagal mendapatkan tiket sekalipun berbaris di stadium itu sejak pukul 8 malam tadi.
Menurut penuntut kolej swasta, Haziq Farhan, keadaan malam tadi tenang dengan semua yang tiba beratur dengan baik.
"Namun, lebih kurang pukul 8 pagi tadi, penyokong yang baru datang menolak penyokong yang di depan sehingga ada kanak-kanak dan wanita tersepit dan sesak nafas.
"Pihak berkuasa pun gagal mengawal keadaan. Saya mengambil keputusan untuk pulang tanpa membeli tiket," katanya.
Keadaan penyokong yang semakin tegang reda apabila Pasukan Simpanan Persekutuan tiba dan mengawal keadaan.
Sebanyak 80,000 tiket dengan separuh dijual dalam talian pada Jumaat dan semalam, habis dibeli dalam masa singkat. - Bernama