Cheng Hoe mahu skuad Harimau Malaya guna kelebihan beraksi di laman sendiri
TIADA jalan lain buat skuad Harimau Malaya melainkan mencatat kemenangan pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A menentang Myanmar di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini.
Hanya kemenangan yang akan membuka laluan buat anak-anak buah Tan Cheng Hoe melangkah ke pusingan separuh akhir Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018.
Justeru, Cheng Hoe berharap barisan pemain yang diberi mandat untuk beraksi nanti mampu menggalas tugas tanpa sebarang tekanan dan fokus sepanjang perlawanan nanti.
Katanya, peluang beraksi di laman sendiri perlu digunakan sebaik mungkin dan pada masa sama harus waspada ancaman yang boleh dihadirkan oleh pasukan Myanmar.
“Saya anggap ini adalah perlawanan cukup penting dalam misi membawa skuad negara ke pusingan separuh akhir. Selain itu, saya harap pemain dapat kekal fokus dan yakin dengan falsafah permainan yang diterapkan.
“Saya tidak mahu kelebihan beraksi di laman sendiri membuatkan pemain terlalu yakin sehingga alpa memandangkan pasukan Myanmar memiliki ramuan tersendiri.
“Saya tidak terkejut Myanmar berada di kedudukan teratas kumpulan ketika ini kerana mereka pasukan yang hebat dari segi pertahanan selain mampu melakukan serangan balas pantas,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.
Skuad Harimau Malaya berada di kedudukan ketiga peringkat Kumpulan A selepas mengutip enam mata dan hanya dibezakan satu mata dengan Myanmar selepas mengharungi tiga perlawanan.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe mengakui semua pemain Harimau Malaya bebas daripada sebarang kecederaan selepas mengharungi rehat lebih daripada seminggu sejak tewas 0-2 kepada Vietnam di Hanoi minggu lalu.
“Semua pemain sudah cergas sepenuhnya termasuk Mohamadou Sumareh, sekali gus menyukarkan saya untuk membuat keputusan senarai kesebelasan utama.
“Situasi sama berlaku di posisi penjaga gol kerana kesemua pemain berada pada tahap terbaik. Saya harap sesiapa sahaja yang beraksi nanti bersedia sepenuhnya,” ujarnya.
Myanmar yang berada di ranking ke-141 dunia merupakan pasukan yang menyingkirkan Malaysia (ranking ke-169) pada peringkat kumpulan pada kejohanan sama dua tahun lalu selepas mencatat kemenangan 1-0 hasil jaringan minit ke-89 oleh David Htan.
Kali terakhir skuad negara menjulang trofi Piala AFF Suzuki adalah edisi 2010 di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan