Sedar hanya kemenangan mampu membawa pasukan negara ke pentas separuh akhir Piala AFF 2018, pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe optimis anak buahnya mampu merealisasikan misi berkenaan.
Tambah bekas jurulatih Kedah itu, dia telah merangka strategi terbaik untuk memerangkap Myanmar dan tetap percaya dengan barisan pemain sedia ada tetapi dalam masa sama tetap menghormati lawannya.
“Tentunya kami memerlukan tiga mata untuk mara ke peringkat seterusnya tetapi sebagai ketua jurulatih, saya harus menghormati lawan. Myanmar telah beraksi baik setakat ini dan mereka memiliki strategi untuk menahan asakan kami.
“Namun, berbekalkan pengalaman serta sokongan padu penyokong sendiri, kami positif untuk meraih keputusan yang diinginkan (menang).
Jika rekod pertemuan Malaysia bertemu Myanmar dalam dua edisi Piala AFF menjadi ukuran maka kelebihan jelas berpihak kepada skuad kendalian Antoine Hey.
Bagaimanapun, kedua-dua pasukan memiliki barisan pemain dan jurulatih berbeza yang semestinya rekod terdahulu bukan lagi ukuran kekuatan masing-masing dalam pertemuan terakhir Kumpulan A.
Cheng Hoe juga mengingatkan anak buahnya agar tidak melakukan kesilapan mudah yang mampu bakal membawa padah kepada pasukan.
“Sebagai jurulatih saya mahu setiap pemain mempunyai mentaliti untuk menang apabila turun ke padang dan fokus sepenuhnya dalam setiap saat. Kelekaan akan menghukum kita dan memberi kelebihan kepada lawan. Saya pasti bermain di laman sendiri sentiasa memberi motivasi positif kepada pemain,” ujarnya.
Sementara itu, Farizal Marlias yang dijangka bakal menjadi benteng terakhir pasukan negara dalam perlawanan tersebut menegaskan, rakan sepasukannya sudah bersedia, selain bermotivasi tinggi untuk menghadapi aksi penting berkenaan.
“Kami sudah bersedia untuk menghadapi cabaran sengit daripada Myanmar. Dalam sesi latihan semua pemain telah memberi komitmen begitu tinggi dengan persediaan baik.
“Perlawanan esok amat penting untuk menentukan layak ke peringkat seterusnya. Kedua-dua pasukan memiliki kekuatan masing-masing tetapi kita ada sedikit kelebihan daripada pemain ke-12 iaitu penyokong yang akan memberi sokongan padu kepada kita,” jelasnya.