PEMAIN Harimau Malaya menjalani latihan pertama sebaik sahaja tiba di Hanoi, semalam. - FB FAM
KUALA LUMPUR 15 Nov. - Pertemuan menentang Malaysia amat dinantikan oleh penyokong Vietnam, malah tiket perlawanan Piala AFF itu dikatakan sudah habis dijual.
Tonggak pertahanan Harimau Malaya, Shahrul Saad berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya mempersiapkan diri untuk berdepan pemain ke-12 Vietnam, iaitu penyokong setia mereka yang dijangka memenuhi 42,000 tempat duduk di Stadium My Dinh, Hanoi esok.
Kata pemain Perak itu, dia menjangkakan suasana perlawanan hampir sama seperti ketika mereka mengalahkan Kemboja 1-0 dalam aksi pembukaan di Stadium Olympic, Phnom Penh, 18 November.
Bezanya, Kemboja antara pasukan terlemah dalam Kumpulan A, dan perlawanan itu ketika itu berlangsung di depan 34,000, sedangkan Vietnam merupakan pilihan pertama Piala AFF 2018 dan turun bersama status juara 2008.
“Saya dengar tiket sudah habis dijual dan stadium akan penuh. Saya percaya, kami akan bermain dalam suasana seperti ketika menentang Kemboja. Harap kami dapat memberikan aksi terbaik.
“Kami sudah dibolosi satu gol setakat ini (menang 3-1 ke atas Laos). Saya akan pertahanan gawang habis-habisan dan cuba tidak bolos lagi,” kata Shahrul.
Shahrul mengakui, pertemuan menentang Vietnam adalah ujian sebenar Harimau Malaya kerana mereka memiliki barisan pemain yang baik di posisi serangan.
“Kami sudah mengenal pasti beberapa pemain yang mampu menjadi ancaman, jadi pertahanan harus sentiasa berwaspada. Kami akan bermain sebagai satu pasukan dan turun mencari kemenangan,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan