KUALA LUMPUR: Penyerang negara, Mohamadou Sumareh hanya mahu memberi tumpuan untuk kembali cergas selepas mengalami kecederaan hasmtring ketika menewaskan Laos pada 12 November lalu.
Pemain kelahiran Gambia itu enggan mengulas laporan mengenai prestasinya pada kempen Piala AFF setakat ini yang mana dia masih belum menyumbat sebarang gol dalam tiga perlawanan berbanding rakan sepasukannya Norshahrul Idlan Talaha yang meledak tiga gol.
“Buat masa ini, tiada apa yang ingin saya katakan,” katanya.
Sebagai pemain naturalisasi pertama skuad kebangsaan, tumpuan pastinya terarah kepada Sumareh dan pemain berusia 24 tahun itu berasa tertekan ketika misinya untuk meraih kemenangan ke atas Myanmar dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
“Saya hanya fokus untuk kembali cergas 100 peratus selepas mengalami kecederaan hamstring jadi apa yang saya mahukan adalah kemenangan pada perlawanan Sabtu ini.
“Hanya selepas itu saya boleh menjawab segala persoalan mengenai kemampuan saya,” katanya.
Selepas tiga perlawanan, Malaysia ketika ini menduduki tangga ketiga Kumpulan A dengan mengumpul enam mata, ketinggalan kepada Myanmar dan Vietnam di tangga pertama dan kedua yang masing-masing meraih tujuh mata.
Perlawanan menentang Myanmar Sabtu ini menjadi misi hidup mati buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe bagi mengelak tragedi 2016 berulang apabila mereka gagal melepasi peringkat kumpulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan