KUALA LUMPUR 15 Nov. - Tempoh 24 jam ini bakal menjadi penentu sama ada penyerang Pahang, Mohamadou Sumareh akan bermain atau tidak dalam perlawanan Kumpulan A Piala AFF 2018 menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi esok.
Sumareh masih dibelenggu kecederaan hamstring dan tidak diturunkan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe ketika pasukan negara melakar kemenangan 3-1 ke atas Laos Isnin lalu.
Walau bagaimanapun, khidmat penyerang kelahiran Gambia itu pasti ditagih pasukan negara untuk memperkuatkan jentera serangan namun Cheng Hoe terpaksa menunggu jawapan daripada pasukan perubatan sama ada pemain tersebut boleh beraksi atau tidak.
“Keadaan Sumareh semakin baik dan kami ada tempoh 24 jam untuk mengetahui (tahap) stamina dan kecergasannya. Kami mahu dia 100 peratus cergas, doktor perubatan akan mengesahkan sama ada dia mampu bermain atau tidak,” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan di Hanoi, hari ini.
Malaysia yang kini menerajui Kumpulan A dengan mengumpul enam mata menerusi kemenangan ke atas Kemboja dan Laos dalam dua perlawanan pertama bakal mengesahkan tempat ke separuh akhir seandainya berjaya menewaskan Vietnam.
Untuk rekod, Harimau Malaya berjaya menewaskan Vietnam 4-2 dalam separuh akhir kedua di Hanoi pada 2014, namun tewas 1-0 kepada lawan sama dalam persaingan peringkat kumpulan di Yangon pada 2016.
Tambah bekas jurulatih Kedah itu, memperolehi satu mata di Hanoi sudah memadai buat pasukan negara kerana Vietnam adalah pasukan pilihan dan memiliki reputasi hebat dalam kempen kali ini yang menyaksikan mereka muncul pasukan terbaik Asia Tenggara dengan menduduki tempat ke-102 dalam ranking dunia berbanding Malaysia 169.
Pertemuan dengan skuad Naga Emas itu dilabel ujian paling sukar buat Harimau Malaya dalam merintis laluan ke separuh akhir berdasarkan reputasi lawan yang mara ke perlawanan akhir Kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu.
“Saya harap anak buah saya dapat meneruskan momentum dan semangat tinggi ketika berdepan Vietnam yang memiliki pasukan lengkap dan merupakan pasukan pilihan dalam Kumpuan A.
“Pemain perlu kekal fokus dan berwaspada dengan jentera serangan pasukan lawan serta perlu mempamerkan semangat juang dan disiplin tinggi dalam perlawanan esok,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan