Skuad The Golden Dragon menghuni kedudukan ke-102 dunia berbanding Harimau Malaya (No. 169), namun pemain pertahanan kental negara, Shahrul Saad optimis Malaysia juga memiliki kekuatan setara dengan Vietnam yang disebut-sebut sebagai pasukan pilihan dalam saingan Kumpulan A Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) edisi 2018.
Kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi malam ini dengan misi skuad bimbingan Tan Cheng Hoe mahu mencatat kemenangan ketiga, manakala pasukan tuan rumah enggan aib di laman sendiri.
“Saya fikir kekuatan kita sebenarnya hampir menyamai mereka, bukan sahaja Vietnam tetapi dengan Thailand.
“Tidak dapat dinafikan pencapaian bola sepak Vietnam cukup menyinar pada tahun ini tetapi kita juga menunjukkan progresif positif dalam kalendar antarabangsa,” ujar Shahrul pada sidang akhbar di Hanoi semalam.