Tugas berat sedang menanti skuad Harimau Malaya apabila bakal berdepan ujian terakhir menentang Myanmar untuk memburu tiket ke separuh akhir saingan Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe mengakui sudah mengkaji kekuatan dan kelemahan pasukan lawan itu sambil menyifatkan Myanmar mampu ditewaskan jika pemain mengikut taktikal yang dirancang olehnya.
Ketika ini, skuad negara mengumpul enam mata selepas melakar dua kemenangan ke atas Kemboja (1-0) dan Laos (3-1) sebelum tumbang kepada Vietnam (0-2) pada aksi ketiga. Kemenangan ke atas Myanmar akan memastikan kemaraan pasukan ke separuh akhir.
“Saya nampak suasana latihan cukup baik dan yang penting pemain-pemain sekali lagi perlu fokus untuk perlawanan terakhir keran ia aksi hidup mati pasukan. Tetapi saya rasa cukup yakin dengan barisan pemain yang akan diturunkan nanti.
“Sudah tentu kita sempat melihat perlawanan pasukan Myanmar bermain dengan Laos dan Kemboja. Dari segi kekuatan dan kelemahan memang kita rasa kita mampu mengatasi (Myanmar) perlawanan itu,” katanya kepada Berita Harian
Tetap berwaspada terhadap ancaman Myanmar
Berdasarkan analisis perlawanan, Cheng Hoe mendapati pemain Myanmar mempunyai semangat juang yang tinggi dan tidak mudah mengalah dalam perlawanan penting.
“Kita nampak dari segi semangat melawan dan keinginan tinggi untuk menang pemain Myanmar cukup kuat, malah pemain mereka juga berkebolehan baik.
“Sudah tentu serangan balas mereka juga bahaya kerana mereka ada dua tiga pemain yang laju dan sebab itu pertahanan kita kena sentiasa waspada dengan serangan balas daripada Myanmar,” katanya.
Malah, Cheng Hoe turut merangka beberapa perubahan taktikal dan menyimpan strategi rahsia bagi mengelirukan pihak lawan menjelang aksi itu hujung minggu ini.
“Dalam seminggu ini persiapan dan persediaan cukup baik dan kita memang cuba buat dua atau tiga pilihan (perubahan taktikal) yang akan digunakan dalam aksi itu.
“Tetapi saya rasa pemain sudah bersedia dan sesiapa saja diturunkan pasti akan memberi persembahan terbaik,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan