MALAYSIA tidak perlu tunggu Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo lahir di sini untuk menjadi sebuah negara yang hebat dalam bola sepak, tegas Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.
Beliau berkata demikian bagi menyambut baik usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang melancarkan peta hala tuju atau Roadmap yang dikenal sebagai F:30 bagi menjadikan Malaysia sebagai lima negara terbaik Asia menjelang 2030.
Infantino yakin dengan pelan perancangan yang diperkenalkan FAM untuk tempoh 12 tahun adalah satu tempoh realistik dan mampu dicapai berdasarkan apa yang telah digariskan.
“Jangan tunggu Messi atau Ronaldo lahir di Malaysia terlebih dahulu untuk capai apa-apa sasaran dan berjaya selepas ini.
“Bagi memastikan idea ini berjaya yang paling penting adalah terus bekerja keras dari hari pertama dilancarkan dan saya yakin Malaysia bakal menjadi satu negara yang hebat satu hari nanti,” katanya pada majlis pelancaran F:30 di Kuala Lumpur semalam.
Pembentangan F:30 dilakukan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam bersama Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo sambil disaksikan lebih 200 anggota keluarga bola sepak tempatan terdiri daripada ahli gabungan FAM dan pengamal media.
“Tahniah khususnya kepada Datuk Hamidin (Mohd. Amin) kerana melancarkan pelan hala tuju FAM hanya tiga bulan selepas menjadi Presiden FAM.
“FIFA sentiasa menyokong usaha ini kerana ia sejajar dengan Program FIFA Forward yang kami kemas kini baru-baru ini bertujuan memperkasakan negara anggota FIFA,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan