Lebih manis, Malaysia yang mencatatkan keha­diran penonton paling ramai bagi edisi 2018 di peringkat kumpulan selepas 83,000 penyokong hadir menyaksikan perlawanan tersebut berjaya melunaskan dendam dua tahun lalu apabila Myanmar merupakan pasukan yang bertanggungjawab menyingkirkan Harimau Malaya di peringkat kumpulan.
Biarpun beraksi di depan ribuan penyokong Harimau Malaya namun Myanmar menampilkan corak permainan tenang malah mereka dilihat agresif terutamanya pada 10 minit pertama permainan apabila skuad kendalian Antoine Hey hampir menembusi gawang pasukan tuan rumah pada minit ke-16, namun rembatan Maung Maung Soe berjaya ditepis oleh penjaga gol Malaysia, Mohd. Farizal Marlias.
Asakan bertubi-tubi Malaysia terhadap kubu lawan hampir membuahkan hasil bagaimanapun rembatan Zaquan Adha Abd. Razak selepas menerima hantaran lintang daripada Safawi Rasid pada minit ke-23 berjaya dinafikan oleh penjaga gol Myanmar, Kyaw Zin Htet.
Penyerang veteran Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha menceriakan penyokong tuan rumah apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-26 selepas merembat masuk bola yang sebelum itu terkena palang berpunca daripada sepakan Mohamadou Sumareh. Itu merupakan jaringan keempat Norshahrul sepanjang kempen peringkat kumpulan.
Selang lima minit kemudian, Malaysia hampir menggandakan jaringan bagaimanapun tandukan kapten Harimau Malaya, Zaquan selepas menerima hantaran lintang daripada Syahmi Safari berjaya ditangkap oleh Zin Htet.
Ketinggalan satu gol selain beraksi di depan penyokong lawan membuatkan Myanmar semakin tertekan telah membuatkan pertahanan, Soe Moe Kyaw menolak penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi dalam kotak penalti pada waktu kecederaan babak pertama. Zaquan tidak berdepan masalah untuk menyempurnakannya sekali gus me­ngukuhkan kedudukan 2-0.
Memasuki babak kedua, Malaysia semakin bernafsu apabila melakukan asakan bertubi-tubi terhadap gawang lawan dan pada minit ke-62 penyerang Pahang, Sumareh hampir menambah jaringan bagaimanapun rembatannya berjaya di­nafikan oleh Zin Htet.
Bagaimanapun, pada minit ke-89, Zaquan menambah jari­ngan untuk Harimau Malaya melengkapkan kemena­ngan 3-0 ke atas Myanmar.