Malaysia mara ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018 setelah kalahkan Myanmar 3-0
SKUAD Harimau Malaya mengotakan janji untuk layak ke pentas separuh akhir Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 selepas menumbangkan Myanmar 3-0 pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia yang muncul naib juara setelah meraih sembilan mata, mengiringi Vietnam sebagai pendahulu Kumpulan A dengan 10 mata selepas menewaskan Kemboja 3-0 dalam aksi yang sama.
Beraksi pada separuh masa pertama, skuad negara mendominasi penguasaan bola dengan mengasak benteng pertahanan Myanmar.
Taktik agresif Harimau Malaya berhasil selepas penyerang Pahang, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo membuka tirai jaringan pada minit ke-25.
Pemain kelahiran Terengganu itu bijak memanfaatkan situasi kelam kabut dengan menolak mudah bola ke gawang skuad pelawat apabila rembatan Mohamadou Sumareh gagal ditepis penjaga gol Myanmar, Kyaw Zin Htet.
Pasukan negara hampir berjaya menggandakan kedudukan menerusi kapten Mohamad Zaquan Adha Abd. Radzak, tetapi percubaan tepat tersebut gagal menemui gawang pada minit ke-30.
Myanmar mencemaskan puluhan ribu penyokong apabila memperoleh peluang terbaik menyamakan kedudukan, namun gagal dimanfaatkan Aung Thu pada minit ke-42.
Bagaimanapun semangat juang Myanmar sekali lagi direntap oleh pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe sejurus Zaquan menjadikan keputusan 2-0 menerusi sepakan penalti pada minit ke-45.
Kejayaan itu hadir selepas pengadil dari Iran, Faghani Alireza memberikan kelebihan itu kepada pasukan negara sebaik Safawi Rasid dijatuhkan Soe Moe Kyaw dalam kawasan kotak penalti.
Bersambung di separuh kedua perlawanan, skuad negara tidak menunjukkan tanda-tanda kepenatan dengan terus mengasak benteng pertahanan Myanmar.
Bermula dengan percubaan tepat Syamer Kutty Abba (m-47) dan Mat Yo (m-61) yang tidak berjaya dijelmakan, jentera serangan Harimau Malaya terus berusaha mencari gol ketiga perlawanan.
Bagaimanapun benteng pertahanan Myanmar bermain dengan lebih berhati-hati dengan mematahkan setiap serangan skuad negara di setiap posisi.
Myanmar cuba memberikan tentangan dalam misi mencari dua gol untuk menyamakan kedudukan berbaki 10 minit, namun Zaquan memastikan tiket separuh akhir menjadi milik negara apabila meledak gol ketiga berbaki tiga minit permainan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan