Beraksi di hadapan hampir 42,000 penyokong tuan rumah yang memenuhi setiap sudut stadium, pasukan negara bermula baik apabila berjaya menguasai perlawanan dan menyerap asakan daripada pasukan Vietnam pada 10 minit pertama.
Bagaimanapun, serangan balas pantas skuad Naga Emas dari sebelah kanan pertahanan negara menerusi hantaran satu dua sebelum disudahkan Nguyen Cong Phuong pada minit ke-11 berjaya membuka tirai jaringan untuk tuan rumah mendahului 1-0.
Tersentak dengan jaringan itu, anak didik Tan Cheng Hoe kembali mengatur gerakan untuk memecah benteng pertahanan tuan rumah namun berdepan kebuntuan, selain kekurangan idea barisan tengah melakukan umpanan berbahaya kepada penyerang negara yang diketuai Norshahrul Idlan Talaha.
Kedudukan 1-0 kekal hingga berakhir babak pertama, biarpun penguasaan bola jelas menjadi milik pasukan Harimau Malaya dengan menyaksikan bola lebih banyak berlegar di tengah padang.
Bersambung babak kedua, pasukan negara hampir memecah kebuntuan gol pada minit ke-53 menerusi sepakan bebas Safawi Rasid, yang dibawa masuk menggantikan Mohamadou Sumareh, namun berjaya ditepis keluar penjaga gol skuad Naga Emas, Bui Tien Dung.
Keghairahan pemain Harimau Malaya mengatur serangan sekali lagi dihukum dengan serangan balas tuan rumah pada minit ke-60 apabila penyerangnya, Nguyen Anh Duc bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum melakukan rembatan kencang dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol negara Khairul Fahmi Che Mat buat kali kedua.
Kekalahan itu menyaksikan skuad negara berdepan misi wajib menang ke atas Myanmar dalam perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 24 November nanti. - UTUSAN ONLINE