Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada yakin dengan kemampuan yang dimiliki oleh bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Hadi Fayyadh Abdul Razak untuk menempatkan diri dalam kelab liga Jepun.
Beliau berkata demikian kepada Berita Harian apabila diminta mengulas mengenai keberangkatan Hadi Fayyadh ke Jepun untuk menjalani sesi ujian bersama kelab Liga divisyen 2, Fagiano Okayama buat kali kedua bermula hari Khamis ini.
Status Hadi selaku penyerang skuad kebangsaan mungkin bukan jaminan untuk memikat barisan kejurulatihan Fagiano Okayama, namun Hamada menggesa pemain muda negara itu supaya berusaha dengan gigih dan tidak putus asa untuk memburu impiannya.
“Umurnya masih muda dan ini membolehkan dia mencari pengalaman di tempat yang terbaik. Meskipun dia dipandang sebagai antara prospek terbaik di Malaysia, namun situasi itu amat berbeza di Jepun kerana tahap dan kualiti antara dua negara yang jauh berbeza.
“Secara peribadinya, saya mengharapkan dia dapat menunjukkan prestasi yang baik dalam sesi latihan bersama Fagiano Okayama dan seterusnya mendapatkan tempat,” katanya.
Ikut jejak langkah Chanathip Songkrasin dan Yuya Osako
Hamada juga mahu Hadi mencontohi bintang Thailand, Chanathip Songkrasin yang menyertai kelab J-League, Hokkaido Consadole Sapporo dan penyerang Jepun, Yuya Osako yang beraksi di Piala Dunia 2018. Dua pemain ini bermula dari bawah sebelum mencipta nama di peringkat tertinggi.
“Saya melihat Hadi Fayyadh memiliki potensi seperti Chanathip. Sebelum ini, dia juga dipandang tinggi di negaranya namun selepas berada di Jepun, dia sedikit bergelut sebelum berjaya membuktikan kemampuannya dengan menjadi penjaring gol kedua terbanyak pasukannya pada musim ini.
“Bukan itu sahaja, saya juga mahukan dia supaya dapat mengikut jejak langkah Osako kerana mereka berdua mempunyai latar belakang bola sepak yang lebih kurang sama,” katanya.
Chanatip mula didaftarkan ketika perlawanan J2 League telah berlangsung sebanyak 18 perlawanan, namun impak yang dibawa oleh pemain ini cukup hebat apabila tersenarai sebanyak 15 kali dalam kesebelasan utama dan hanya sekali masuk sebagai pemain gantian, mengumpul 1,301 minit masa bermain.
Aksi Chanathip juga telah berjaya mengelakkan Consadole Sapporo yang ketika itu bergelut zon penyingkiran ke J2 League.
Musim 2018, Chanathip juga bermula dalam kesebelasan utama ketika bertemu Sanfrecce Hiroshima dan beraksi selama 71 minit. Berikutan prestasi cemerlangnya, beliau ditawarkan kontrak tetap untuk bersama kelab itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan