Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam hantaran terbaharu dalam laman Facebook rasminya, memaklumkan peminat skuad Harimau Malaya masih boleh membeli tiket perlawanan berkenaan yang dijual di kaunter khas Wisma FAM, Kelana Jaya, pada hari ini dan esok bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.
Harga tiket bagi tempat duduk grandstand adalah RM30, terbuka (RM20) manakala RM5 untuk kanak-kanak.
FAM turut memaklumkan kaunter jualan tiket akan turut dibuka di Stadium Nasional pada Jumaat ini dari jam 10 pagi hingga 5 petang selain pada hari perlawanan bermula jam 10 pagi hingga tiket perlawanan habis terjual.
Kenyataan tersebut turut menyatakan pembelian tiket dalam talian di laman sesawang www.tickethotline.com.my masih dibuka, namun bagi tempat duduk terbuka sahaja yang dijual.
Peminat yang membeli tiket dalam talian boleh membuat penebusan tiket di Stadium Nasional bermula esok sehingga Sabtu ini.
Skuad Harimau Malaya perlu mencatatkan kemenangan ke atas Myanmar untuk layak ke peringkat separuh akhir kejohanan dwitahunan itu.
Malaysia kini menduduki tangga ketiga di belakang Myanmar dan Vietnam dalam kumpulan A dengan kutipan enam mata, hasil dua kemenangan dan kalah sekali. - Bernama