Setiap kali skuad Harimau Malaya beraksi dalam saingan Piala AFF, nama Akram Mahinan sering menjadi sebutan peminat bola sepak tempatan yang mengkritik tentang corak permainannya di bahagian tengah.
Walaupun sering diejek dan dijadikan bahan “troll” oleh netizen, pemain tengah Kedah itu tidak kisah dengan apa yang dikatakan oleh mereka dan enggan melayan segala bentuk komen negatif yang tidak membantu beliau.
Namun fokusnya bagi membantu skuad negara mengulangi kejayaan edisi 2010 tidak terjejas dan beliau tekad untuk menutup mulut pengkritik dengan meningkatkan prestasinya.
“Mereka boleh katakan apa sahaja yang mereka mahukan, saya tidak ada masalah dengan itu,” katanya kepada Berita Harian.
Mengulas mengenai perlawanan menentang Vietnam minggu lepas dimana skuad negara tewas dengan jaringan 0-2, Akram mengakui terdapat kesilapan di bahagian tengah.
“Gol kedua ketika menentang Vietnam itu adalah kesilapan di bahagian tengah dan kami dihukum. Jadi untuk aksi seterusnya bertemu Myanmar, kami perlu menumpukan perhatian bagi memastikan perkara sama tidak berulang.” jelasnya.
Pemain sudah mula serasi dengan taktikal Tan Cheng Hoe
Akram turut berpendapat skuad Harimau Malaya kini sudah menunjukkan sedikit peningkatan dan masih ada beberapa bahagian yang perlu diperkemaskan sebelum bertemu Myanmar sabtu ini.
“Pada pandangan saya, pasukan sudah menunjukkan peningkatan khususnya pada aksi bertemu Vietnam tetapi kita perlu memperkemas lagi gerakan terutamanya ketika menembusi kawasan lawan untuk menjaringkan gol.
“Saya masih perlu bekerja keras untuk membantu pertahanan pasukan dan menghentikan serangan balas pantas lawan.
“Masih ada banyak peningkatan yang perlu ditunjukkan dan ia masih belum cukup untuk membawa kami ke final. Saya perlu lebih bersungguh-sungguh,” katanya.
Malaysia akan bertemu Myanmar pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini bagi menentukan tiket ke separuh akhir memandangkan skuad negara kini menghimpun enam mata menerusi dua kemenangan dan satu kekalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan