KUALA LUMPUR: Pertahanan Harimau Malaya, Aidil Zafuan Radzak menegaskan kemenangan penting 3-0 ke atas Myanmar, malam tadi adalah disebabkan prestasi baik benteng pertahanan yang sebelum ini dilabel sebagai punca kekalahan kepada Vietnam pada aksi terdahulu.
Mengerti ia kelemahan ketika Malaysia tewas 0-2 di Hanoi, Aidil yang dinobat pemain terbaik perlawanan tahu dia dan rakan sepasukannya di barisan pertahanan perlu mengurangkan kesilapan dan berharap momentum sama dapat dikekalkan pada separuh akhir.
“Pada perlawanan hari ini (semalam), kami mahukan kemenangan tapi bagi saya secara peribadi, pertahanan kami (Shahrul Saad, Syahmi Safari, Syazwan Andik Ishak) melakukan kerja hebat untuk mengecilkan kesilapan kami dan meraih tiga mata penting,” katanya.
Aidil, 31, turut mengakui terkejut apabila dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan kerana dia secara peribadi berasa tidak layak untuk menerimanya.
“Saya terkejut kerana saya tidak rasa seperti saya memberikan 100 peratus dan di sana ada pemain yang lebih layak mendapatnya berbanding saya. Tapi saya menyempurnakan segala tugas saya dan tanggungjawab sebagai pemain senior dan malam ini saya berjaya menepati jangkaan jurulatih,” kata Aidil.
Aidil yang juga pertahanan Johor Darul Ta’zim berkata, mereka akan mengkaji lawan separuh akhir dengan teliti kerana setiap perlawanan perlu ditempuh dengan pendekatan berbeza tidak kira apa keputusan aksi terdahulu.
“Bagi perlawanan ini, kami bertahan dengan baik, serangan bermula dari sana untuk mengaktifkan seluruh pasukan dan kami tidak melakukan banyak kesilapan kerana kami bersabar, kami menunggu dan mengambil peluang apabila Myanmar melakukan kesilapan.
“Kami menggunakan Mohamadou Sumareh tapi bagi perlawanan seterusnya, kami tidak tahu siapa yang akan kami jumpa dan ia akan menjadi perlawanan yang berbeza jadi kami akan berbincang bagaimana untuk menanganinya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan