
JURULATIH Maldives, Petar Segrt pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. - Foto Saddam Yusoff
KUALA LUMPUR: Malaysia seharusnya tidak berdepan masalah menundukkan Maldives pada aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Meskipun berada pada ranking ke-151, jauh lebih baik berbanding Malaysia (169), jurulatih Maldives, Petar Segrt mendedahkan pasukannya berdepan tiga masalah besar menjelang aksi berkenaan.
Malah, situasi ini diburukkan apabila sebahagian besar pemainnya langsung tidak menjalani latihan sejak enam minggu lalu selepas menjuarai Piala Persekutuan Bolasepak Asia Selatan (SAFF) 2018, September lalu.
“Kami tiba di sini semalam namun belum lagi sempat menjalani latihan kerana hujan. Kami hanya mendapat peluang menjalani latihan malam ini.
“Barisan pemain kami juga dalam kalangan pemain separuh masa. Sebahagian besar daripadanya tidak berlatih selama enam minggu kerana masalah peribadi.
“Beberapa pemain tonggak turut cedera, jadi kami terpaksa membawa pemain muda ke sini,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Mengulas lanjut, bekas pengendali Afghanistan itu menggesa anak buahnya melupakan status mereka sebagai jaguh Asia Selatan sebaliknya melihat perlawanan ini sebagai aksi yang berbeza.
“Kejuaraan ini sudah berlalu jadi kita tidak boleh terlalu terbawa-bawa dengannya. Bagi saya, ini aksi yang berlainan.
“Kita perlu perlu bermula daripada kosong. Mereka perlu bermain sepenuh hati dan dengan keyakinan bagi mendapatkan keputusan yang positif,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan