KUALA LUMPUR: “Malaysia tidak perlu menunggu Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo lahir di sini untuk meraih kejayaan,” kata Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.
Bos FIFA itu berkata demikian kerana yakin Program F:30 yang dilancarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mampu meningkatkan kualiti bola sepak di negara ini sekali gus mencerahkan lagi impian skuad Harimau Malaya beraksi di Piala Dunia pada masa akan datang.
Katanya, pihaknya sentiasa menyokong ahli gabungan yang menunjukkan kesungguhan membangunkan sukan terbabit di setiap peringkat dan mengakui pelan yang dilancarkan FAM berkenaan sejajar dengan ‘Program FIFA Forward’ khusus bagi memperkasa negara anggota badan induk itu.
“Pada pandangan saya, pelan ini satu perancangan yang baik dan saya percaya Malaysia dapat menikmati hasilnya dalam jangka masa panjang.
“Malaysia antara negara yang begitu ghairah terhadap bola sepak, jadi sudah tentu ini akan membantu membentuk hala tuju ke arah yang lebih baik.
“Bagi mencapai kejayaan, ia memerlukan banyak proses dan kita tidak seharusnya bersandarkan kepada satu keputusan semata-mata.
“Tiada rahsia untuk meraih kejayaan kecuali kerja keras dan meskipun ia hanya setapak demi setapak, pastikan ia berterusan. Lebih mustahak, ia perlu mendapat kerjasama daripada semua pihak untuk menjayakannya,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Program F:30 di sini, hari ini.
Program F:30 itu ialah Peta Hala Tuju atau ‘Roadmap’ FAM dalam tempoh 12 tahun dan antara inti patinya ialah menetapkan Harimau Malaya akan kembali ‘mengaum’ sebagai antara lima negara terbaik Asia menjelang 2030.
Peta hala tuju itu terbahagi kepada tiga pelan strategik iaitu fasa pertama (2019-2022) untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan, pembangunan modal insan dan infrastruktur disusuli fasa kedua (2023-2026) untuk mencapai peringkat Asia.
Fasa ketiga (2027-2030) pula bertujuan melahirkan pasukan kebangsaan yang bertaraf dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan