Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan F:30 sebagai satu simbol keseriusan FAM yang akan mencetuskan rancangan pembangunan menyeluruh di setiap peringkat, sekaligus menjadikan Malaysia sebagai negara yang memiliki pasukan bola sepak yang amat disegani.
Beliau berkata pelan itu adalah agenda negara, sekaligus menjadikan ia sebagai satu agenda yang menuntut pembabitan gigih semua pihak termasuk beliau sendiri, FAM, para peminat dan juga pemegang taruh sukan itu.
"Jika kita mahu capai wawasan ini, kita perlu penglibatan semua pihak. Tunjang utama pelan ini adalah untuk mengukuhkan penyatuan dalam semua aspek dari perspektif pembangunan modal insan, persaingan, pengenalan kepada DNA bola sepak Malaysia menerusi kurikulum latihan yang seragam, dan pembangunan peringkat akar umbi yang kukuh," katanya semasa berucap di majlis pelancaran F:30 di sini hari ini.
Turut hadir di majlis pelancaran itu ialah Presiden Pesekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino, dan Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa, Anggota Majlis FIFA, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Setiausaha Agung FIFA, Fatma Samoura dan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John.
Sementara itu Infantino yang berada di Kuala Lumpur buat pertama kali sebagai Presiden FIFA mengucapkan tahniah kepada FAM dengan pelancaran F:30 itu.
"Tahniah terutama kepada Datuk Hamidin kerana melancarkan pelan FAM ini dalam tempoh hanya tiga bulan selepas menjadi Presiden FAM. FIFA sentiasa menyokong dan menyambut baik rakan sekutu yang mempamerkan kesungguhan dalam membangunkan bola sepak di setiap peringkat," katanya.
F:30 adalah pelan rancangan 12 tahun yang terbahagi kepada tiga pelan strategik dengan fasa pertama dari tahun 2022 dikhususkan kepada usaha membina asas kukuh menerusi tadbir urus baik, persaingan, serta pembangunan modal insan di samping infrastruktur.
Ia diikuti dengan fasa dua (2023-2026) yang disasar untuk dicapai di peringkat Asia, manakala fasa ketiga (2027-2030) disasar melahirkan pasukan kebangsaan yang bertaraf dunia. - Bernama