HAMIDIN MOHD. AMIN (tengah) bersama Gianni Infantino (kanan) dan Shaikh Salman Ebrahim Al Khalif ketika melancarkan Peta Hala Tuju F:30 FAM di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
KUALA LUMPUR 31 Okt. - Membawa Harimau Malaya muncul antara lima pasukan terbaik Asia menjelang 2030 menjadi misi utama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Peta Hala Tuju atau ‘Roadmap’ F:30 yang dilancarkan hari ini.
F:30 yang merupakan perancangan 12 tahun FAM terbahagi kepada tiga pelan strategik iaitu fasa pertama (2019-2022) untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan, pembangunan modal insan dan infrastruktur disusuli fasa kedua (2023-2026) untuk mencapai peringkat Asia.
Fasa ketiga (2027-2030) pula bertujuan melahirkan pasukan kebangsaan yang bertaraf dunia.
Presiden Pesekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino dan Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalif antara saksi utama misi besar FAM. Turut hadir dalam pelancaran hari ini adalah Anggota Majlis FIFA, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Setiausaha Agung FIFA, Fatma Samoura serta Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, F:30 adalah bukti keseriusan badan itu untuk membuat perancangan menyeluruh di semua peringkat dan menjadikan Malaysia negara bola sepak disegani.
“Tempoh 12 tahun adalah sasaran yang realistik selepas mengambil kira ekosistem bola sepak tempatan ketika ini.
“Teras kepada peta hala tuju ini ialah memperkasakan ahli gabungan dari sudut pembangunan modal insan dan pertandingan, pengenalan DNA bola sepak Malaysia menerusi kurikulum kejurulatihan yang seragam, serta pembangunan akar umbi yang mantap.
“Dalam peta hala tuju ini juga, FAM bercadang mewujudkan sekelompok pengadil profesional bertujuan meningkatkan mutu pengadilan,” kata Hamidin.
Bagaimanapun kata Hamidin, bagi memastikan wawasan itu mampu dicapai, penglibatan semua pihak amat diperlukan oleh FAM.
Sementara itu, Infantino yang berada di Kuala Lumpur buat pertama kali sebagai Presiden FIFA mengucapkan tahniah kepada FAM dengan pelancaran F:30 tersebut.
“Tahniah terutama kepada Datuk Hamidin kerana melancarkan pelan FAM ini dalam tempoh hanya tiga bulan selepas menjadi Presiden. FIFA sentiasa menyokong dan menyambut baik rakan sekutu yang menunjukkan kesungguhan dalam membangunkan bola sepak,” katanya. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan