Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Jumaat, 13 Julai 2018

Saddiq akan ke Indonesia bincang isu keselamatan atlet


Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir bagi mengikuti perutusan khas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi Taklimat Governans, Integriti dan Antirasuah di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), 10 Julai lalu. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal ke Indonesia malam ini dan akan menggunakan kesempatan itu untuk berjumpa dengan kerajaan Indonesia berhubung isu keselamatan atlet negara.
"Saya dijadualkan ke Indonesia malam ini atas urusan kerja dan akan mengambil peluang tersebut untuk berjumpa dan berbincang dengan pihak mereka berhubung perkara ini.
"Perkara ini adalah penting terutamanya memandangkan kontinjen Malaysia akan berada di Indonesia bagi menghadapi Sukan Asia ke-18 pada bulan Ogos nanti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas insiden kekecohan yang membabitkan penonton Indonesia ketika saingan separuh akhir Kejuaraan AFF 2018 Bawah 19 tahun yang menyaksikan Malaysia menewaskan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas aksi sebenar terikat 1-1 di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, semalam.
"Insiden ini berlaku ekoran ketidakpuashatian penonton dengan kekalahan pasukan mereka sehingga bertindak memprovokasi sejurus perlawanan tamat. Ini menyebabkan pasukan Malaysia lewat hampir satu jam untuk keluar dari stadium dan terpaksa diiringi pihak polis di sana," katanya.
Syed Saddiq berkata Malaysia bagaimanapun menghargai usaha pihak berkuasa Indonesia yang tangkas dan cekap bagi mengawal keadaan serta melindungi pemain serta pegawai kedua-dua pasukan.
"Walau bagaimanapun, Malaysia juga melihat perkara ini sebagai satu perkara yang serius kerana keselamatan dan kesejahteraan atlet sentiasa menjadi keutamaan pada bila-bila dan di mana jua mereka berada.
"Buat masa ini, pihak Indonesia menjanjikan peningkatan kualiti keselamatan menjelang perlawanan akhir dan tindakan akan diambil ke atas perbuatan dan pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Malaysia bakal berdepan dengan juara dua kali Myanmar (2003 dan 2005) dalam final esok. Untuk rekod, pasukan B-19 negara tidak pernah merangkul gelaran juara selepas lima kali muncul sebagai naib juara  pada 2003, 2005, 2006, 2007 dan 2017.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan