
SKUAD bawah 19 tahun negara (B-19) dibaling dengan botol minuman dan batu selepas tamat perlawanan sehingga memaksa mereka berlari masuk ke bilik persalinan untuk menyelamatkan diri.
KUALA LUMPUR: Insiden yang mencemari aksi separuh akhir Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018 antara Malaysia dan Indonesia dibimbangi akan mencetuskan ketakutan kepada pemain skuad negara.
Memandangkan Indonesia akan menjadi tuan rumah untuk aksi Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Kejuaraan Futsal AFF 2018 dan juga Kejuaraan Bawah 23 tahun (B-23) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018, sudah tentu situasi itu menimbulkan rasa kurang senang kepada pemain kebangsaan yang akan beraksi di negara terbabit.
Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi menegaskan isu keselamatan sentiasa menjadi keutamaan badan induk itu dan ia seharusnya tidak boleh dikompromi.
"Dalam soal itu, kita memerlukan jaminan daripada mereka supaya keselamatan pemain sentiasa terjaga. Bukan hanya untuk insiden yang berlaku semalam tetapi kita melihat kepada penganjuran pertandingan yang akan datang.
"Kita tahu Indonesia bakal menjadi tuan rumah untuk beberapa kejohanan pada tahun ini. Jadi saya khuatir situasi ini akan menggerunkan pemain sekaligus menyebabkan fokus mereka terjejas dan gagal memberikan yang terbaik.
"Pasukan Indonesia mendapat layanan yang baik daripada penyokong Malaysia ketika Sukan SEA 2017 namun sebaliknya yang berlaku apabila pemain kita beraksi di sana. Sepatutnya kita mendapat layanan yang sama.
"FAM mungkin akan menghantar bantahan ataupun mengemukakan cadangan yang dirasakan wajar bagi memastikan insiden sama tidak lagi berlaku kepada skuad negara pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, skuad B-19 negara diserang penyokong tempatan selepas perlawanan separuh akhir Kejuaraan AFF B-19 2018 di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, malam tadi.
Insiden itu tercetus susulan rasa tidak puas hati penyokong Indonesia apabila skuad Garuda Muda tewas kepada Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas aksi sebenar terikat 1-1.
Menerusi video yang diterima Sukan NSTP yang dirakam sendiri jurulatih, Bojan Hodak, kelihatan pemain dan pegawai pasukan negara terpaksa berlari ke bilik persalinan untuk menyelamatkan diri daripada diserang penyokong tuan rumah yang didakwa membaling botol minuman dan juga batu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan