PERSATUAN Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) membuat permohonan maaf di atas tindakan segelintir penyokong mereka bertindak ganas kepada pasukan bawah 19 tahun (B-19) negara di Stadium Delta Sidoarjo, Surabaya kelmarin.
Itulah yang dimaklumkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin selepas menyaksikan kejayaan pasukan bimbingan Bojan Hodak layak ke pentas final kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dicemari dengan insiden buruk apabila mereka dibaling botol minuman dan batu selepas tamat perlawanan.
Kemarahan penyokong-penyokong Indonesia dipercayai berpunca kerana mereka tidak dapat menerima kekalahan pasukan tuan rumah selepas tewas 2-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 sepanjang 90 minit permainan.
“Saya telah menghubungi Naib Presiden FAM, Datuk Ab. Ghani Hassan selaku pengurus pasukan dan pegawai-pegawai pasukan kita di Surabaya, Indonesia bagi mendapatkan maklumat berhubung insiden di Stadium Delta Sidoarjo malam tadi (kelmarin).
“Berdasarkan maklumat yang diterima, terdapat penyokong Indonesia membaling botol dan batu dari tempat duduk penonton ke arah para pemain B-19 kebangsaan selepas perlawanan iaitu ketika mereka hendak masuk ke terowong menuju ke bilik persalinan.
“Kekecohan yang berlaku telah menyebabkan pasukan B-19 kebangsaan keluar lewat hampir sejam untuk pulang ke hotel penginapan. Bagaimanapun, kekecohan itu berjaya dikawal oleh pihak berkuasa dan tiada sebarang kecederaan dialami oleh para pemain dan pegawai pasukan remaja kebangsaan.
“Susulan insiden itu, saya telah menghubungi Ketua Umum PSSI, Joko Driyono dan beliau berjanji akan meningkatkan tahap kawalan keselamatan pasukan B-19 kebangsaan semasa menjalani latihan hari ini (semalam) dan ketika di hotel penginapan.
“Joko sebagai mewakili PSSI turut meminta maaf di atas insiden yang tidak diingini itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung AFF, Datuk Azzuddin Ahmad melahirkan rasa kesal terhadap insiden tersebut tetapi pada masa sama memuji komitmen PSSI dan pihak keselamatan stadium yang berjaya mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
“AFF memandang serius hal ini tetapi pada masa sama turut memuji PSSI serta pihak keselamatan stadium yang berjaya menangani isu ini sebelum menjadi lebih serius.
“Sudah pasti pada aksi final, AFF akan beri lebih tekanan kepada aspek keselamatan pasukan B-19 Malaysia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Palembang, semalam.
Sentimen bola sepak Malaysia-Indonesia seakan-akan tiada kesudahan kerana pasukan B-23 negara juga merasai detik mengerikan selepas menaiki kereta perisai milik Indonesia, Barracuda di Sukan SEA 2011 ketika berlaku insiden rusuhan penyokong.
Skrip sama seperti skuad kendalian Hodak, penyokong-penyokong Indonesia tidak dapat menerima hakikat kekalahan mereka kepada pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee yang meraih pingat emas dalam acara bola sepak sebelum melakukan rusuhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan