Kelmarin, skuad remaja negara layak ke pentas final AFF B-19 selepas menewaskan Indonesia 3-2 menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Surabaya.
Bagaimanapun kejayaan skuad Hodak tidak dapat di­terima segelintir penyokong Indonesia yang bertindak membaling botol minuman dan batu dari tempat duduk penonton ke arah para pemain ketika menuju ke terowong selepas tamat perlawanan.
Mengulas mengenai insiden tersebut, Hodak menegaskan sikap penyokong-penyokong Indonesia itu sudah boleh dijangka kerana ia merupakan insiden ketiga buat dirinya.
Lebih mengejutkan, bekas jurulatih Kelantan itu mendedahkan beliau pernah berdepan situasi lebih buruk dan getir apabila beliau terdengar letupan bom ketika mewakili kelab Croatia, NK Vrapce pada tahun 1992.
Sebagai rekod, skuad muda negara bakal berdepan ­Myanmar pada final AFF B-19 di venue­ sama hari ini.
“Dua kali sebelum ini saya pernah berdepan situasi sama. Di Malaysia ketika saya membimbing MyTeam pada tahun 2006 sehingga 2008, ada pe­minat-peminat membaling botol minuman dan batu di Malaysia tetapi tiada lagi insiden seperti ini sejak tujuh tahun lalu.
“Di China, saya (ketika men­jadi pembantu jurulatih Shandong Luneng) juga pernah berdepan situasi sama di baling botol ketika kami bermain di ge­langgang lawan pada tahun 2011.
“Hari ini (kelmarin) situasi adalah lebih baik jika ditanya pengalaman saya kerana di Croa­tia ketika zaman perang, saya pernah bermain pada satu perlawanan dan kamu boleh dengar letupan bom betul-betul di sebelah stadium. Saya fikir insiden di Croatia lebih berbahaya dan menakutkan saya berban­ding ketiga-tiga situasi yang berlaku sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Indonesia, semalam.