Skuad B-19 negara muncul juara Piala AFF menewaskan Myanmar 4-3 pada final malam ini.
KUALA LUMPUR - Malaysia menamatkan badi kejuaraan apabila menumpaskan Myanmar 4-3 untuk muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah 19 Tahun (B-19) di Stadium Delta Sidoarjo, Surabaya, Indonesia, malam ini.
Skuad muda negara bimbingan Bojan Hodak yang sekadar muncul naib juara sebanyak lima kali, akhirnya meraih kejuaraan sulung apabila Nik Akif Syahiran Nik Mat meledakkan gol kemenangan pada minit ke-90 pada perlawanan penuh dramatik itu.
Untuk rekod, Malaysia sekadar muncul naib juara pada 2003, 2005, 2006, 2007 dan 2017.
Pada aksi final, skuad negara, yang mengalahkan Myanmar 1-0 pada perlawanan kumpulan Selasa lalu, mendahului 2-0, hasil jaringan Awang Muhammad Faiz Hazziq seawal minit ketiga dan Nik Akif Syahiran pada minit ke-18.
Myanmar, bagaimanapun, berjaya menyamakan kedudukan hasil dua jaringan pantas Win Naing Tun pada minit ke-23 dan 26, sebelum mendahului babak pertama perlawanan menerusi jaringan Myat Kaung Khant pada minit ke-31.
Sebaik sahaja babak kedua bermula, Malaysia melancarkan serangan bertali arus ke kubu Myanmar dan akhirnya, Shivan Pillay Asokan menyamakan kedudukan menjadi 3-3 pada minit ke-75.
Bagaimanapun, Nik Akif Syahiran muncul wira skuad negara dengan jaringan emas bagi menamatkan penantian Malaysia selama 16 tahun sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2002. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan