
PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan mengharapkan Tan Sri Annuar Musa mengikut jejak Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi untuk menolak pencalonan bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Sambil mengakui Annuar memiliki kehebatan tersendiri dalam menguruskan bola sepak, Sathianathan bagaimanapun menyifatkan senario semasa menjadikan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai individu paling layak untuk menerajui badan induk itu.
Sathianathan berkata, kejayaan Annuar memacu Kelantan mengecapi zaman kegemilangan mereka beberapa tahun sebelum ini juga tidak boleh dijadikan kayu pengukur kerana menguruskan bola sepak di peringkat negara sangat berbeza dengan negeri atau kelab.
“Saya harap begitu (Annuar tolak pencalonan). Ketika di Kelantan beliau dikatakan sebagai penggerak utama kebangkitan bola sepak negeri itu. Tapi ingat, menguruskan FAM ini memang berbeza.
“Kalau Hamidin, beliau sudah biasa dan beliau juga bukan orang politik. Lagi pun beliau sudah lama dan tahu apa yang perlu dibuat. Satu lagi jangan lupa yang beliau mendapat sokongan daripada Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Hubungan baik FAM dan MFL itu sangat penting kerana kedua-duanya dianggap sebagai penggerak utama bola sepak negara,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.
Semalam, Azim yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membuat kejutan apabila menolak pencalonannya yang dibuat Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) kerana ingin memberi fokus kepada tugas lain.
Ketika ini, hanya Annuar yang masih belum memberi jawapan mengenai pencalonannya selepas Hamidin sudah mengesahkan akan bertanding merebut kerusi panas itu pada Kongres Ke-54 FAM, 14 Julai ini.
Tarikh akhir untuk Annuar membuat keputusan sama ada menerima atau menolak pencalonan beliau adalah pada Khamis ini.
Selain itu, Sathianathan menegaskan Annuar tetap boleh menyumbang sesuatu kepada bola sepak negara jika beliau menolak pencalonan yang dibuat Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) sekali pun.
“Saya pernah bekerja dengan beliau (Annuar), saya tahu beliau ada kehebatan. Jika beliau tidak bertanding sekali pun, tapi kita jangan lupa yang idea dan nasihatnya untuk bola sepak negara perlu diambil kira,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan