
AHMAD Syihan Hazmi Mohamed bersyukur apabila hanya dikenakan penggantungan 20 bulan oleh Konfederasi Bolasepak Asia. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
KUALA LUMPUR: Bekas penjaga gol skuad bawah 23 (B-23) negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed mengakui bersyukur apabila hanya dikenakan penggantungan 20 bulan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Keputusan AFC itu menyaksikan Syihan terlepas hukuman mandatori digantung empat tahun daripada terbabit dalam aktiviti bola sepak selepas gagal dalam ujian doping ketika menyertai Kejohanan B-23 AFC di China pada Januari lalu.
Justeru, pemain muda berusia 22 tahun menganggap kes berkenaan sebagai pengajaran berguna buat dirinya selain perlu lebih berhati-hati dalam mengambil makanan tambahan.
"Saya bersyukur kerana tidak digantung empat tahun. Saya perlu berterima kasih kepada AFC dan ejen saya, Effendi Jagan Abdullah yang banyak membantu dalam kes ini.
"Sekarang ini saya perlu habiskan banyak masa di gym untuk mengekalkan stamina dan berat badan. Bukan mudah menghabiskan tempoh penggantungan yng masih berbaki 16 bulan, tapi saya perlu lakukannya demi kerjaya.
"Ketika ini, saya juga ada melakukan beberapa kerja termasuk menolong kawan dalam perniagaan untuk mendapatkan pendapatan sampingan," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.
Semalam, Effendi mengesahkan Syihan digantung 20 bulan selepas melakukan dua sesi pendengaran kes oleh Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC pada 30 dan 31 Mei lalu.
Pada 13 Februari lalu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pihaknya menerima surat daripada AFC pada 6 Februari, memaklumkan Syihan didakwa positif metabolite methandienone iaitu sejenis bahan larangan dalam senarai Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dalam ujian sampel A yang diambil pada 10 Januari 2018.
Ahmad Syihan didapati bersalah melanggar Artikel 6 Peraturan Anti-Doping AFC dan digantung sementara selama 60 hari daripada mengambil bahagian dalam segala aktiviti bola sepak termasuk perlawanan domestik, persahabatan dan rasmi.
Sementara itu, usaha Sukan NSTP untuk mendapatkan pengesahan daripada AFC, semalam hanya mendapat jawapan ringkas menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John yang berkata: "(Butiran) hukuman akan diedarkan nanti."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan