
BEKAS penjaga gol skuad B-23 negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed. - Foto fail NSTP
KUALA LUMPUR: Bekas penjaga gol skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed digantung selama 20 bulan daripada terbabit dalam aktiviti bola sepak oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Ia susulan pemain muda berusia 22 tahun itu gagal dalam ujian doping ketika menyertai Kejohanan B-23 AFC di China, Januari lalu.
Ejen kepada Syihan, Effendi Jagan Abdullah mengesahkan keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC pada 4 Jun lalu, selepas sesi pendengaran kes berkenaan pada 30 dan 31 Mei lalu.
Effendi yang turut bertindak sebagai jurucakap kepada Syihan pada sesi pendengaran itu berkata, pihaknya tetap berpuas hati dengan tempoh penggantungan yang dikenakan.
"Sepatutnya (Syihan) boleh dikenakan penggantungan mandatori selama empat tahun kerana gagal ujian doping. Namun, selepas memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC, dia hanya digantung 20 bulan.
"Ketika ini, saya dan Syihan merasakan hukuman itu munasabah dan boleh diterima. Kami ada ruang untuk merayu, tapi jika buat rayuan pun ada risiko juga.
"Jika mereka (AFC) tolak rayuan, mereka boleh tambahkan tempoh penggantungan. Jadi, kami tidak akan buat rayuan dan saya juga bincangkan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Pada 13 Februari lalu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pihaknya menerima surat daripada AFC pada 6 Februari, memaklumkan Syihan didakwa positif metabolite methandienone iaitu sejenis bahan larangan dalam senarai Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dalam ujian sampel A yang diambil pada 10 Januari 2018.
Ahmad Syihan didapati bersalah melanggar Artikel 6 Peraturan Anti-Doping AFC dan digantung sementara selama 60 hari daripada mengambil bahagian dalam segala aktiviti bola sepak termasuk perlawanan domestik, persahabatan dan rasmi.
Sementara itu, Effendi turut menjelaskan kontrak Syihan bersama Negeri Sembilan secara umumnya terbatal serta merta selepas beliau dikenakan penggantungan oleh AFC.
"Hukuman itu bermula dari tarikh Syihan digantung sementara sejak Februari lalu, bermakna tempoh penggantungan itu kini tinggal 16 bulan lagi.
"Kontraknya akan tamat serta merta tanpa sebarang pampasan daripada pasukan. Jadi, sekarang ini dia perlu melakukan latihan sendiri untuk mengekalkan prestasi selepas tamat penggantungan nanti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan