Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, ia pen­ting bagi memastikan barisan terbaik dapat diturunkan pada perlawanan persahabatan antarabangsa ‘A’ menentang Fiji di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 5 Julai ini.
“Walaupun kita sedia tahu kemampuan pasukan Fiji dari segi fizikalnya agak kuat, namun kita harap pemain-pemain yang terpilih dapat ambil ke­sempatan ini sebagai satu ujian untuk kita melihat kekuatan mereka dalam pasukan.
“Lagipun sudah lama pemain skuad kebangsaan tidak bersaing bersama pemain antarabangsa, sebab itu kita mahu jadikan perlawanan ini sebagai ruang untuk mereka meningkatkan prestasi semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan perlawanan Liga Super antara Melaka United dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Hang Jebat di sini, semalam.
Cheng Hoe bagaimanapun berkata, beliau mempunyai beberapa pemain simpanan yang dikenalpasti untuk dipanggil menggantikan pemain dalam senarai sedia ada jika ada dalam kalangan mereka ditimpa kece­deraan saat akhir selepas perlawanan Liga Super minggu ini.
“Apa yang penting, pemain utama dan simpanan mesti bebas daripada kecederaan dan mereka dipilih berdasarkan ­prestasi semasa sepanjang musim Liga Super atau Liga Perdana.
"Namun kita sentiasa memantau persembahan pemain-pemain lain untuk diserap ke dalam pasukan kebangsaan,” katanya.